Laporan siasatan padang SNBJ tidak didedah kepada umum


ALOR SETAR: Laporan siasatan isu kerosakan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) hanya akan dibentangkan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tanpa didedahkan kepada umum.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, hasil siasatan tersebut akan digunakan sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.

Katanya, ‘post morterm’ di peringkat Kementerian Belia dan Sukan telah diselesaikan pada minggu lalu.

“Sekarang sudah penghujung tahun dan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah PSM dijadualkan pada awal Januari. Laporan itu akan diteliti seterusnya kita akan ambil langkah penambahbaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita berhubung hasil siasatan isu padang SNBJ ketika menghadiri Majlis Penyerahan Pusat Latihan Skuasy Kedah bernilai RM10.8 juta di Jalan Suka Menanti, di sini hari ini.

Menurut Hannah, hasil siasatan itu tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia hanya melibatkan siasatan dalaman KBS untuk tatapan Ahli Lembaga Pengarah PSM sahaja.

Sebelum ini, padang SNBJ mendapat kritikan orang ramai yang menyifatkan kemudan itu teruk seolah-olah belum bersedia sepenuhnya bagi aksi final Piala Malaysia melibatkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT), 8 Disember lalu.

Pemilik Kelab Bolasepak JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut memuat naik gambar padang SNBJ di laman Instagramnya tanpa sebarang ulasan atau kapsyen.

Gambar menunjukkan keadaan padang tersebut rosak sehingga ia mengundang persoalan ramai sama ada ia disebabkan oleh penganjuran konsert Coldplay pada 22 November lalu.

PSM kemudian memohon maaf kerana kerosakan padang tersebut kepada penganjur final Piala Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sebelum perlawanan berlangsung serta penyokong kedua-dua pasukan.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Hannah percaya keputusan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria untuk terus memegang jawatan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sehingga tamat penggal 2025 adalah bagi memastikan program Road To Gold (RTG) berjalan lancar.

“Saya percaya dengan keputusan dibuat bersama BAM, perancangan RTG untuk tahun depan bila masuk Januari, kita akan terus ‘berlari’ dengan perancangan untuk persiapan olimpik nanti.  Kini adalah proses untuk para pemain melayakkan diri dahulu,” katanya. -UTUSAN





Source link

Leave a Reply