Sifu & Aku, lambang persahabatan simbolik M. Nasir, Hattan


SABAH: Bakal menggegarkan Sabah International Convention Center (SICC) pada 3 Februari depan, Sifu & Aku mencipta sejarah sebagai konsert berskala besar pertama yang menggabungkan dua nama hebat industri seni muzik tempatan, Datuk M. Nasir dan Dtauk Hattan.

Jelas Hattan, penantian lima tahun untuk sepentas dengan ‘sifu’ muziknya, M. Nasir akhirnya bakal terlaksana dan keterujaanya untuk menyanyikan lagu-lagu hebat ciptaan komposer sohor itu cukup tinggi.

“Sepatutnya konsert ini berlangsung tahun lepas tetapi seorang sahabat karib kami meninggal dunia. Jadi sebagai tanda penghormatan, kami tangguh dahulu. Saya sejujurnya bersyukur peluang ini akan direalisasikan.

“Saya tiada guru lain, M. Nasir seorang sahaja guru saya dalam bidang muzik. Sepentas dengan sifu sendiri, memang satu penghormatan buat saya selama bergelar anak seni. Sebab itu saya bersungguh untuk pastikan konsert ini terlaksana.

“Kalau tanya persediaan, kami sentiasa bersedia. Tetapi ini bukan persembahan makan malam, ini sebuah konsert yang bakal memberi sesuatu yang berbezza. Tidak pernah dipersembahkan oleh kami berdua,”ujarnya.

Sementara itu, kongsi M. Nasir pula, Hattan sudah selayaknya bergelar legenda dalam industri seni muzik tempatan dan sepentas dengan anak muridnya itu merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu.

“Saya mungkin tidak sepopular Hattan. Di usia seni saya sedekad, baru dia muncul dalam hidup saya. Album solo dia saya yang terbitkan. Ketika itu dia janji akan terus kekal lama dalam industri seni muzik.

“Saya bersyukur dan rasa bertuah dapat sepentas dengan Hattan. Dia betul-betul mahukan konsert ini direalisasi. Dia bagi saya sudah layak bergelar legenda,”ujar komposer Tanya Sama Itu Hud Hud dan Raikan Cinta itu.

Dalam pada itu, penganjur utama, HS Shazlicious Trading, Mubarak Akhtar berkata, Sifu Dan Aku adalahh konsert unik dan istimewa yang bukan sahaja menampilkan dua seniman berbakat tetapi menunjukkan hubungan yang erat dan harmonis antara seorang guru dan seorang murid yang saling menghormati dan menghargai.

“Konsert ini juga adalah satu penghargaan kepada peminat di Sabah yang jarang mendapat peluang untuk menyaksikan persembahan dua legenda ini secara langsung. Selepas ini kami merancang untuk ke Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain.

“”Saya tiada kerisauan kerana dua produk ini cukup besar namanya dalam industri seni. Saya juga tidak mahu menjanjikan bulan bintang tetapi, saya yakin usaha dan pilihan anda untuk ke konsert ini akan berbaloi,”katanya.

Konsert Sifu Dan Aku ini dianjurkan oleh Ochee Purnama Sdn Bhd dan HS Shazlicious Trading dengan kerjasama Borneo Excursions dan Angkatan Hebat Group. Sementara radio rasmi adalah Era Sabah.

Dalam pada itu, Borneo Excursions adalah agensi pelancongan rasmi untuk Konsert Sifu Dan Aku yang menawarkan tiket konsert, pakej pelancongan, pengangkutan dan hotel dengan harga yang menarik.

Tiket konsert boleh didapati di pada harga RM988 (VIP- tempat duduk bernombor), RM488 (tempat duduk bebas), RM388 (tempat duduk bebas), RM288 (tempat duduk bebas) dan RM188 (tempat duduk bebas).





Source link

Leave a Reply