Tiada kuota ahli politik, profesional lantikan ahli majlis PBT Perak


IPOH: Perak tidak bercadang menetapkan kuota antara ahli politik dan bukan ahli politik dalam pelantikan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, mengenal pasti dan mentafsirkan seseorang itu sebagai ahli politik atau tidak adalah terlalu subjektif.

“Setakat ini di Perak kita tidak ada tentang kouta itu. Tidak ada hajat untuk kita hendak buat pemisahan itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Amanat Perdana Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) bersama Menteri Besar Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan supaya separuh Ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) terdiri daripada kalangan profesional yang pakar bidang tertentu, bukan semata-mata ahli politik.

Perak dijangka meluluskan pelantikan baharu ahli majlis PBT yang akan berakhir pada 15 Februari ini dan Saarani berkata, penetapan kuota seperti itu tertakluk mengikut dasar sesebuah negeri.

Terdahulu dalam majlis yang dihadirinya, beliau berucap di hadapan lebih 500 kakitangan KEMAS Perak termasuk guru-guru prasekolah di bawah kendalian jabatan tersebut.

Beliau memuji sumbangan Kemas kepada pembangunan generasi baharu di negeri itu terutama di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika).

“Ada bakat-bakat yang digilap oleh pembimbing, sehingga ada dalam kalangan mereka yang sebelum ini tidak berani naik ke pentas, sudah berani naik ke atas pentas.

“Adakalanya dia (murid) takkan dapat pendidikan, semangat dan motivasi itu di rumah, tetapi memperolehinya daripada para pendidik yang ada di Tabika KEMAS,” katanya.

Menteri Besar itu juga menyambut baik usaha KEMAS untuk memperkasa penghayatan Islam dan ilmu al-Quran seawal usia empat tahun.

Jelasnya, usaha itu melalui pelaksanaan Program Pra-Tahfiz KEMAS melibatkan 410 buah Tabika KEMAS di seluruh negeri dalam usaha melahirkan seramai 8,251 hufaz cilik menjelang tahun 2026. – UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply