Pusat beli-belah di Puchong dilanda banjir, puluhan kenderaan mengalami kerosakan


PETALING JAYA : Hujan lebat di sekitar Lembah Klang menyebabkan sebuah pusat beli-belah di Puchong dekat sini dinaiki air.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu turut menyebabkan puluhan kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir terjejas susulan air naik di kawasan berkenaan.

Ekoran itu, Unit Pengurusan Bencana Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengeluarkan amaran tahap tiga atau bahaya di kawasan IOI Puchong sekitar pukul 6.45 petang.

Menerusi notis yang dikeluarkan, Unit Pengurusan Bencana MBSJ meminta semua agensi untuk membuat persediaan bantuan.

“Semua agensi terlibat Pengurusan Bencana diminta bersedia untuk pelaksanaan Operasi Bantuan Bencana di bawah bidang kuasa masing-masing.

“Pengguna jalan raya juga diminta untuk tidak menggunakan laluan berkenaan. Penduduk berdekatan diminta mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Terdahulu, tular video yang dimuat naik di platform Tiktok memaparkan pusat beli-belah berkenaan dinaiki air.

Pengunjung yang berada di lokasi terpaksa meredah air untuk ke parkir kenderaan. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply