Awan tebal sukarkan cerapan hilal Syawal di PICC


PUTRAJAYA: Awan tebal yang disebabkan situasi hujan lebat sebelumnya pada sebelah petang di Lembah Klang menyukarkan proses cerapan anak bulan Syawal di sini hari ini.

Keadaan itu menyaksikan stesen pencerapan hilal di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) gagal untuk melakar sejarah mencerap imej anak bulan Syawal kali ini.

Perkara itu disahkan Ketua Jawatankuasa Pencerapan Hilal Peringkat Putrajaya yang juga ialah Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd. Adnan pukul 7.55 petang tadi.

Meskipun begitu, kedudukan anak bulan disahkan memenuhi kriteria imkanur rukyah (KIR) diitetapkan Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia ke-118 pada 2021 lalu.

Berdasarkan maklumat diterima, hilal Syawal itu dikesan berada di ufuk barat pada altitud tujuh darjah enam minit sewaktu matahari terbenam atau maghrib pukul 7.20 petang.

Sementara kedudukan elongasi atau jarak lengkung antara pusat bulan dengan matahari pula didapati pasukan pencerapan itu ialah lapan darjah 48 minit ketika waktu berkenaan.

PICC merupakan antara 29 lokasi yang diwartakan pihak Majlis Raja-Raja untuk proses rukyah atau pencerapan hilal bagi tujuan penetapan awal bulan takwim Hijrah sejak 2005.
Malaysia turut menjadi antara beberapa negara di dunia yang mengamalkan penetapan tarikh Hijrah dengan menggunakan kaedah hisab atau pengiraan sejak tahun berkenaan.

  1. Majlis Raja-Raja pada tiga tahun lalu meluluskan KIR baharu iaitu altitud bulan mesti tidak kurang tiga darjah manakala sudut elongasi pula melebihi daripada enam darjah 24 minit.

Tahun lepas, PICC mencipta sejarah apabila menjadi antara 10 lokasi pencerapan yang berjaya merekodkan imej anak bulan Ramadan kelihatan memenuhi kriteria ditetapkan.

Premis terletak di Presint 5 itu mula dibina pada 2001 sebelum siap dua tahun kemudian dengan aktif dalam menganjurkan pelbagai acara persidangan, mesyuarat dan seminar.
Hilal boleh dilihat secara mata kasar selain menerusi bantuan beberapa jenis teleskop, teodolit, binokular dan kamera, namun bergantung suasana langit yang bebas awan tebal. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply