PETALING JAYA: Skuad Gergasi Merah mahu melakar kemenangan yang ke-20 bagi musim 2023 dan bersedia untuk menghadapi segala cabaran yang akan berlaku ketika menentang juara Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023, PDRM FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengendali Selangor FC, Tan Cheng Hoe berkata, kita ingin melakar kemenangan ke-20 serta mendapat keputusan yang positif kerana ingin menghadiahkan kemenangan ini kepada penyokong Selangor FC yang sudah datang memberikan semangat kepada pemain-pemain dari awal musim.
“Kita mempunyai rekod yang buruk ketika menentang PDRM FC kerana pasukan kami hanya menang sekali dalam tiga pertembungan dengan The Cops.
“Kita harap esok pemain-pemain dapat bermain dalam keadaan yang terbaik dan mencapai sasaran kita bagi musim ini, katanya.
Tambahnya lagi, setakat hari ini, semua pemain berada dalam keadaan yang terbaik dan melakukan persediaan yang rapi untuk menentang juara Piala Cabaran (MFL).
“Semua yang bermain menentang Kedah FC lalu dalam keadaan yang baik dan tiada permain yang dilaporkan mengalami kecederaan serta semua telah bersedia untuk menunjukkan prestasi yang baik untuk menentang PDRM FC.
Terdahulu, PDRM FC telah dinobatkan selaku juara Piala Cabaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) 2023 selepas menumpaskan Kuching City FC 4-1 secara agregat pada awal bulan lalu.
Tambah lagi, kejuaraan itu adalah trofi ketiga buat PDRM FC dalam kancah domestik selepas memenangi kejuaraan Liga Perdana pada musim 2007 dan 2014 sebelum ini.
‘The Cops’ yang dikendalikan oleh jurulatih tempatan, Datuk Yunus Alif bakal memberikan saingan yang sengit kepada Red Giants pada perlawanan Liga Super malam ini.
The Cops kini menghuni tangga kelapan Liga Super menerusi 37 mata selepas berjaya menundukkan Kelantan FC 7-2 pada awal bulan lalu.
Cheng Hoe juga menafikan perkara mengenai desas desus perpindahan pemain Selangor FC agar tidak mengganggu perlawanan untuk terakhir esok.
“Tidak ada pemain yang akan berpindah dari Selangor FC,” katanya.