USIM Sahut Hasrat Kerajaan Madani, Majlis Konvokesyen USIM Ke-21 Tahun 2023 Melabuh Tirai

Bermula pada 12 Disember 2023 isnin lalu, kesudahannya USIM melabuhkan tirai Majlis Konvokesyen USIM Kali ke-21 pada hari ini pada Sidang 7 dengan meraikan seramai 442 orang graduan daripada campuran Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Pergigian USIM dan menjadikan jumlah keseluruhan graduan yang diraikan pada tahun ini adalah 3,146 orang graduan.

Selari dengan konsep dan kerangka ‘Membangun Malaysia Madani’ yang telah diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, USIM tampil memformulakan tema majlis konvokesyen pada tahun ini iaitu Graduan USIM Pemangkin Masyarakat Madani acuan graduan berilmu, berkepemimpinan dan profesional yang kompeten berasaskan tradisi keilmuan Islam, nilai – nilai luhur agama dan budaya wadah kesejahteraan Masyarakat Madani.

Sungguhpun baru menjengah usia 23 tahun penubuhan USIM, sehingga kini USIM berjaya melahirkan seramai 33,948 orang alumni dan USIM terus bertekad untuk melahirkan lebih ramai graduan yang berjaya supaya menjadi suri teladan dan role-model kepada anak – anak muda diluar sana untuk memilih Kampus Barakah ini sebagai destinasi pengajian mereka.

Dengan menjanjikan kelainan berbanding Universiti Awam yang lebih senior, USIM kini bukan sahaja berjaya memahat pelbagai kejayaan demi kejayaan diperingkat kebangsaan, malah turut dibanggakan dengan pelbagai pencapaian kejayaan di peringkat antarabangsa selari dengan aspirasi USIM untuk menjadi Rujukan Global. Inilah menunjukkan USIM mampu ‘berdiri sama tinggi, duduk sama rendah’ bersama universiti awam yang lain.

Dalam ucapan Naib Canselor USIM Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani pada sidang akhir iaitu sidang 7 pada hari ini “mohon kepada sidang hadirin sekalian, agar mendoakan urusan USIM ke arah menjadi rujukan global menjelang tahun 2025 dipermudahkan. Jaringan yang akan dibina ini akan memetakan graduan kita di persada global.” ujar beliau.

Disamping itu juga, dengan adanya barisan Alumni dan figura hebat tempatan seperti Daie Hamidah, Daie Fuad, Penceramah TV Selebriti Tempatan Prof. Madya Dr. Nik Salida Suhaila, Host Forum Perdana Hal Ehwal Islam Ustaz Mohd Hariri Daud, USIM akan terus meraihkan kepercayaan masyarakat lebih-lebih lagi ibubapa untuk menjadikan USIM adalah pilihan utama tempat menyambung pengajian anak-anak mereka.

Majlis Konvokesyen pada tahun ini juga, USIM menunjukkan tanda sokongan dan solidariti kepada graduan USIM mangsa korban kekejaman serangan zionis di Gaza, Palestin. “Dalam kegembiraan menyambut kejayaan kita menggenggam segulung ijazah bersama keluarga pada hari ini, usah di lupakan nasib saudara seIslam kita di bumi Gaza, Palestin dek kekejaman rakus zionis,” ujar beliau lagi.

Pada Majlis Konvokesyen USIM Kali Ke-21 ini USIM menzahirkan rasa dukacita di mana terdapat alumni kita telah syahid dalam serangan itu iaitu Dr Mohammed J. H. Alzaanin, pelajar Doktor Falsafah (Pengurusan Sumber Manusia) di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan serta isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi USIM.  Turut terkorban 20 ahli keluarga mangsa.   Pensyarah USIM, Dr Wesam A.M Almahallawi dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan juga mengalami kehilangan seramai 19 ahli keluarganya. Dr. Said T S Aldahshan, Alumni Doktor Falsafah dalam bidang Syariah dan Undang-Undang dan ahli keluarganya turut terkorban dalam serangan tentera Israel di Gaza. Justeru, USIM bersetuju untuk menganugerahkan Ijazah Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah Secara Anumerta kepada Allahyarhamah Kholoud M.H. Elzaneen dan Allahyarham Dr Mohammed J.H. Alzaanin pada majlis konvokesyen USIM kali ini.

Source link

Leave a Reply