Unimas pupuk konsep penyelidikan berkepentingan


PETALING JAYA: Membawa konsep penyelidikan berkepentingan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) percaya pendekatan itu berupaya diaplikasikan dalam kalangan komuniti setempat secara mampu milik, relevan dan mudah diakses oleh kumpulan sasaran.

Naib Canselor Unimas, Prof. Dr. Ahmad Hata Rasit berkata, inisiatif penyelidikan dan inovasi seharusnya memberi impak kepada kedudukan universiti dan pemegang taruh, terutamanya komuniti setempat berdasarkan keperluan utama pembangunan negara.

Katanya, melalui pendekatan itu, pihaknya telah menganjurkan sebanyak 922 projek komuniti melalui inisiatif SULAM, University Social Responsibility (USR), Dana Lestari dari tahun 2017 hingga 2023.

“Sebagai sebuah universiti yang menjadikan pemerkasaan komuniti sebagai agenda utama, Unimas telah mula menyemai aspirasi ini secara jelas dalam kalangan para akademik dan pelajar bermula dari tahun 2016.

“Komuniti merupakan jiwa atau nadi kepada inisiatif-inisiatif penyelidik dan cendekiawan Unimas,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kerancakan meneroka dan menimba ilmu baharu, tidak dapat dinafikan adanya kecenderungan akademik berorientasikan kepada pencapaian dan penarafan.

Hal ini bertujuan sebagai indikator untuk dijadikan kayu pengukur bagi meningkatkan kecemerlangan dan menyebarluaskan hasil penyelidikan kepada pihak berkeperluan.

Dalam pada itu, Ahmad Hata berkata, apabila ‘jiwa penyelidik’ diorientasikan, kesejahteraan masyarakat dan kebaikan terhadap komuniti mampu menyemai perasaan empati, kecerdasan emosi dan kesedaran moral.

Katanya, ia secara langsung akan memberikan impak kepada sistem sokongan yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif tersebut seperti para pelajar, staf sokongan akademik, rakan strategik kerjasama dan komuniti setempat.

“Justeru itu, Unimas akan terus memperluaskan agenda dalam menyiapkan graduan yang tidak hanya bersandarkan latar belakang akademik bahkan turut merangkumi sifat insaniah.

“Pendekatan holistik ini telah dan sentiasa akan menjadi pegangan Unimas dan saya percaya, ia akan menjadikan hasrat kita untuk melahirkan para intelek dengan jiwa (intellect with soul) akan berjaya dicapai dengan adanya ekosistem yang menyokong aspirasi ini,” katanya. –UTUSAN

 





Source link

Leave a Reply