PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memohon pengisian penuh terhadap perjawatan sedia ada membabitkan anggota penguatkuasa.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, ketika ini hanya terdapat kira-kira 2,200 anggota penguat kuasa di seluruh negara yang menjalankan aktiviti penguatkuasaan membabitkan 12 akta di bawah KPDN.
“Pada peringkat ini kita bukan memohon untuk perjawatan baharu, namun kita mengharapkan JPA untuk mempertimbangkan supaya kita dapat membuat pengisian yang maksima terhadap perjawatan sedia ada.
“Jadi kita akan merayu dan mengadakan perjumpaan dengan JPA untuk kebenaran membuat pengisian perjawatan yang sedia ada dalam waran, untuk pengisian tersebut,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Amanat Tahun Baru KPDN 2024 di sini hari ini.
Armizan turut mengakui bahawa jumlah anggota penguatkuasa KPDN sememangnya tidak mencukupi untuk menampung pelbagai tugas penguatkuasaan.
“Tanggungjawab (mereka) ini cukup besar apatah lagi dalam kita menghadapi agenda subsidi bersasar ini yang memerlukan kepada penguatkuasaan.
“Misalnya dalam menguatkuasakan akta yang melibatkan anti pencatutan, apabila harga diapungkan risiko kartel atau risiko pencatutan akan berlaku, jadi kita memerlukan penguatkuasaan,” katanya. – UTUSAN