Matahari buatan Korea Selatan dinaik taraf


SEOUL: Peranti pelakuran superkonduktor Korea Selatan yang juga dikenali sebagai `matahari buatan’, KSTAR kini ditambah baik sehingga membolehkannya beroperasi untuk jangka masa lebih lama.

Lapor UPI News, Korea Institute of Fusion Energy (KFE) memaklumkan pihaknya berjaya memasang pengalih tungsten baharu KSTAR yang berupaya mengendalikan suhu tinggi plasma pada lebih 100 juta darjah Celsius selama 30 saat.

Menurut KFE, keupayaan baharu itu boleh membawa kepada hasil penyelidikan yang cemerlang untuk mengkomersialkan pelakuran nuklear sebagai sumber tenaga.

Dilaporkan, institut itu juga mengetuai usahasama untuk mempercepatkan pembangunan tenaga pelakuran nuklear dengan program International Thermonuclear Experimental Reactor (ITER).

ITER merupakan projek untuk membina reaktor pelakuran magnet yang lebih besar di selatan Perancis.

Sementara itu, Presiden KFE, Dr. Suk Jae Yoo berkata, pemasangan pengalih tungsten untuk mengendalikan KSTAR pada suhu lebih tinggi dilihat akan menghasilkan data penting bagi program ITER.   

Pengalih adalah komponen penting yang menguruskan ekzos sisa gas daripada reaktor, selain menanggung beban haba permukaan tinggi.

Sebelum ini, KSTAR dilengkapi pengalih karbon kurang kalis haba berbanding dengan pengalih tungsten yang digunakan ketika ini.   

Kerja-kerja pembinaan pengalih tungsten bermula pada tahun 2018.

“Prototaip pertama siap pada tahun 2021 dan pemasangannya bermula pada September 2022,” jelas laporan.

Menurut KFE, tungsten mempunyai takat lebur tinggi dan ciri-ciri sputtering rendah yang bermakna rintangan haba meningkat lebih dua kali ganda.  

Tambah KFE, menerusi pemasangan pengalih baharu itu, pihaknya berharap dapat mencapai operasi plasma berprestasi tinggi selama 300 saat menjelang akhir tahun 2026.





Source link

Leave a Reply