Lebih 30 tahun masalah banjir laluan Paya Garok belum selesai


JERANTUT: Kira-kira 15,000 penduduk di mukim Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling di sini sudah lebih 30 tahun menanti kerajaan menaik taraf laluan Simpang Paya Garok di Jalan Raya Jerantut-Kuala Tahan yang kerap ditenggelami air ketika musim tengkujuh.

Ketika banjir, laluan sepanjang lebih 200 meter yang merupakan jalan utama dari bandar Jerantut melalui Jerantut Feri ke Taman Negara serta kawasan Ulu Tembeling itu ditenggelami air Sungai Pahang sedalam lebih dua meter.

Dalam kejadian banjir minggu lalu, ribuan penduduk dan kenderaan terkandas termasuk pelancong luar yang berekreasi di Taman Negara Kuala Tahan terpaksa dibawa keluar berikutan air melimpah dan menenggelamkan jalan raya di Simpang Paya Garok.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penduduk Ulu Tembeling, Mustapha Abdullah, 35, berkata, penduduk sudah mencongak bencana itu akan berlaku bila-bila masa dalam dalam November hingga awal tahun ini kerana fenomena Monsun Timur Laut sudah bermula dan kerap berlaku hujan di Ulu Sungai Tembeling.

“Apabila laluan ini dinaiki air, penduduk mukim Tembeling Tengah dan Ulu Tembeling terputus hubungan hampir dua minggu dan senario ini menyukarkan mereka ke bandar Jerantut untuk berbelanja dan rawatan di hospital.

“Banjir yang menenggelamkan laluan ini juga turut melimpah masuk ke kawasan penempatan Paya Garuk terletak berdekatan sehingga menimbulkan kesusahan penduduk yang kebanyakannya bekerja di kilang, penoreh getah dan buruh ladang,” katanya di Simpang Paya Garuk, di sini. 

Penduduk Kuala Sat, Zulkifli Jamaludin, 62, berkata, difahamkan kerja menaikkan aras laluan itu lebih tinggi sudah ada dalam perancangan kerajaan malah pernah diuar-uarkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu tetapi sehingga kini belum direalisasikan. 

“Kami di Ulu Tembeling dan tempat lain tertanya-tanya bilakah projek menaikkan aras jalan ini dilaksanakan oleh kerajaan dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini dibimbangi banjir berulang. 

“Seingat saya, laluan ini kerap ditenggelami air setiap tahun sejak 30 tahun lalu dan pernah dijanjikan oleh wakil kerajaan aras jalan ini akan ditinggikan bagi mengelakkan ditenggelami banjir,” katanya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply