Houthi ancam tindak balas lebih besar


WASHINGTON: Kumpulan pejuang Houthi mengancam akan melakukan tindak balas yang lebih besar dan berkesan selepas Amerika Syarikat (AS) didakwa melakukan satu lagi serangan di Yemen, semalam.

Serangan itu hanya meningkatkan lagi ketegangan ketika Washington berikrar untuk melindungi perkapalan daripada serangan pihak bersekutu Iran di Laut Merah.

Ia juga menambah kebimbangan mengenai peningkatan konflik yang merebak di Asia Barat sejak kumpulan pejuang Palestin, Hamas dan Israel berperang dengan sekutu Iran turut memasuki pertempuran dari Lubnan, Syria dan Iraq.

Presiden AS, Joe Biden berkata, AS menghantar mesej peribadi kepada Iran mengenai serangan Houthi. 

Biden bagaimanapun tanpa mengulas lanjut berkata, pihaknya akan lebih bersiap sedia.

Pentagon berkata, serangan AS-British Jumaat lalu mempunyai kesan baik.

Serangan terbaharu AS dikatakan mengenai tapak radar, berlaku sehari selepas berpuluh-puluh serangan Amerika dan British ke atas kemudahan Houthi di Yemen.

Jurucakap Houthi, Nasruldeen Amer berkata, serangan baharu ini akan mendapat tindak balas yang tegas, kuat dan berkesan.

Bagaimanapun, katanya, tiada kecederaan mahupun kerosakan material dilaporkan.

Seorang lagi jurucakap Houthi, Mohammed Abdulsalam memberitahu Reuters, serangan itu, termasuk serangan yang melanda pangkalan tentera di Sanaa tidak memberi kesan yang ketara terhadap keupayaan kumpulan itu untuk menghalang kapal-kapal yang berkaitan dengan Israel daripada melalui Laut Merah dan Laut Arab.

Houthi berkata, kempen maritim mereka bertujuan menyokong rakyat Palestin di bawah kepungan dan serangan Israel di Gaza, yang diperintah oleh Hamas yang disokong Iran. 

Kebanyakan kapal yang mereka serang tidak mempunyai kaitan dengan Israel.

Kumpulan itu, yang mengawal Sanaa dan sebahagian besar barat dan utara Yemen, juga  menembak dron dan peluru berpandu ke Laut Merah ke atas Israel sendiri.

Hans Grundberg, utusan khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Yemen, menggesa untuk mengekang semua yang terlibat dan memberi amaran tentang keadaan yang semakin tidak menentu di rantau itu.-REUTERS

 





Source link

Leave a Reply