KUALA LUMPUR: Empat kumpulan berjaya melangkah ke peringkat akhir Pentas Marhaban di studio TV AlHijrah yang bakal berlangdung minggu hadapan.

Antara kumpulan yang bakal berentap merebut gelaran juara adalah kumpulan Qalbun Hadi, Al-Maqari’, Al-Muhtadin dan Raudhatul Ashwaq.

Juri, Ustazah Asni Mansor berkata juara bakal dipilih berasarkan kemampuan mereka menyampaikan persembahan yang paling menyentuh hati.

“Jika anda tanya apa yang para juri cari di pusingan akhir nanti, jawapannya hanyalah ketenangan.

“Penyampaian mereka bersangkutan dengan kisah Rasulullah, maka kita cari persembahan yang mampu menyentuh hati.

“Pesan saya kepada peserta, berlatihlah dengan bijak. Jangan terlalu kuat berlatih hingga hilang suara dan penyampaian tidak terkawal,” katanya semasa sidang media semalam.

Setiap kumpulan pada pusingan akhir nanti perlu membuat dua persembahan iaitu penyampaian marhaban asli dan kontemporari.

Program realiti yang disiarkan selama lapan minggu itu turut diadili Ustaz Zulhafis atau lebih dikenali sebagai Along Gambus dan seorang juri jemputan.

Pusingan akhir juga bakal menampilkan Ustaz Azraie sebagai juri jemputan.

Pemarkahan diberikan bedasarkan gaya persembahan, pakaian, lagu, solo dan harmoni.

Juara akan membawa pulang wang tunai bernilai RM50,000 sementara tempat kedua bakal memenangi wang RM25,000. Dua pemenang saguhati bakal membawa pulang wang tunai bernilai RM5,000.





Source link

Leave a Reply