RISDA Menyediakan Bantuan kepada Usahawan dan Agromakanan untuk Mendorong Penanaman Getah


GERIK: Kerajaan menyediakan lebih RM600 juta untuk pembangunan pekebun kecil bagi tahun ini dengan separuh daripadanya adalah melalui program pembangunan tanam semula getah.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) sedang berusaha menerangkan pelbagai bantuan melalui program tanam semula.

Beliau yang juga Pengerusi RISDA berkata, jumlah kebun getah tidak diusahakan meningkat kepada 533,000 hektar pada tahun 2022 berbanding 409,000 hektar pada 2019.

Jelasnya, hal itu didorong akibat pelbagai isu seperti ketidakstabilan harga pasaran, cuaca tidak menentu, aplikasi teknologi dan serangan penyakit pokok.

“RISDA kini giat melaksanakan Gerakan Kempen Tanam Semula getah untuk memastikan pembangunan penanaman getah ini dapat terus kita dirancakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Karnival Usahawan RISDA (KUR) dan Pelancaran Kempen Tanam Semula (TS++) Peringkat RISDA Negeri Perak Tahun 2023 di sini semalam.

Jelas Noraini, program RISDA itu tidak hanya tertumpu kepada warga pekebun kecil sahaja, malah terbuka kepada seluruh masyarakat yang berminat.

Pada masa ini, RISDA menawarkan bantuan melalui Program Tanam Semula dengan nilai yang dilihat amat signifikan bagi setiap hektar sebanyak RM13,710 di Semenanjung, RM14,805 di Sarawak dan RM14,955 di Sabah.

Sementara itu RISDA memberitahu, program itu menyokong pendekatan secara individu dan berkelompok dengan menyediakan ansuran pembayaran bantuan selama lima kali ansuran atau sehingga pokok getah boleh ditoreh.

“Pekebun kecil sama ada dalam kategori mempunyai pokok getah tua dan tidak produktif, atau individu mempunyai tanah terbiar layak memohon bantuan ini dengan keluasan serendah 0.1 hektar sahaja.

“Bantuan ini merangkumi kos pembangunan, penyelenggaraan ladang, penyediaan benih, dan baja,” katanya.

Tambah Noraini, RISDA juga membuka peluang ekonomi kepada ahli keluarga pekebun kecil selain memastikan sasaran pekebun kecil untuk mendapat pendapatan sekurang-kurangnya RM4,500 sebulan. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply