Ringgit dibuka lemah berbanding dolar Singapura, rupiah Indonesia


PETALING JAYA: Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini, berikutan pelabur kekal berhati-hati menjelang data indeks harga pengguna (IHP) AS pada malam ini, menurut penganalisis.

Memetik laporan Bernama, pada pukul 9 pagi, ringgit susut kepada 4.7610/7670 berbanding penutup Jumaat lalu pada 4.7595/7705.

Penganalisis secara konsensus menjangkakan kadar inflasi AS pada Januari boleh turun lebih rendah pada 2.9 peratus tahun ke tahun, selepas meningkat kepada 3.4 peratus bulan sebelumnya.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid turut berpandangan, IHP AS teras pada Januari akan terus menunjukkan trend disinflasi kepada 3.8 peratus.

“Kami percaya semua ini telah ditetapkan harganya, yang akan menyokong dolar AS dalam tempoh terdekat,” katanya.

Tambah beliau, pasaran buruh yang ketat mungkin telah `mengaburkan’ pandangan (penggubal monetari) untuk pemotongan awal kadar selain konflik geopolitik berpotensi meningkatkan harga komoditi, yang akan mendorong inflasi pada masa hadapan.

Oleh itu, beliau menjangkakan dolar AS-ringgit kekal dalam julat antara 4.76 dan 4.77 pada hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1887/1929 daripada 3.1849/1925 pada penutup Jumaat lalu. Ia susut berbanding pound Britain kepada 6.0108/0183 daripada 6.0017/0156 dan susut berbanding euro daripada 5.1250/1359 kepada 5.1241/1359.

Sementara itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ringgit lebih kukuh berbanding baht Thailand pada 13.2478/2726 daripada 13.2540/2902, dan lebih kukuh berbanding peso Filipina kepada 8.50/8.53 daripada 8.51/8.55 sebelumnya.

Bagaimanapun, mata wang tempatan itu rendah sedikit berbanding dolar Singapura pada 3.5393/5440 berbanding 3.5342/5429, dan lebih lemah berbanding rupiah Indonesia pada 305.2/305.8 berbanding 304.3/305.2 Jumaat lalu. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply