SAYA ada sebut dalam satu video baru-baru ini yang Butterfingers ialah kugiran terbaik Malaysia, menurut pandangan saya.

Tapi video itu belum diterbitkan (tak pasti juga adakah akan diterbitkan atau tak) jadi saya belum dapat lihat reaksi orang tentang penyataan itu.

Hujah-hujah saya berkata demikian biarlah disimpan untuk video itu cuma saya nak beritahu di sini, Butterfingers merupakan antara kugiran paling seronok untuk diteliti perkembangannya.

Dari zaman ‘jamming budak sekolah’ di Kuala Kangsar, era grunge, album demi album sehingga perubahan haluan bahasa, ada banyak cerita menarik yang ada di sebaliknya.

Lagu pertama

Saya peminat Butterfingers generasi Kembali. Dari album studio terakhir tersebut, saya meneroka muzik kugiran itu secara mengundur. Saya jadi kenal Selamat Tinggal Dunia, Malayneum, Transcendence sampailah 1.2 Miligrams.

Tapi tak banyak lagu Inggeris mereka yang melekat dalam kepala saya, walaupun saya fikir era lagu Inggeris Butterfingers adalah kemuncak identiti mereka. Saya kenal melodi banyak lagu tapi sering gagal kenal pasti tajuknya.

Memang ada beza antara lagu Inggeris dengan Melayu Butterfingers. Bukan sahaja dari segi bunyi, malah penulisan lirik. Ada kejanggalan yang menyenangkan pada lirik Melayu Butterfingers.

Sebab itu, apabila dapat tahu lagu Melayu pertama Butterfingers ialah Hari Raya Di Kuala Lumpur, saya seronok. Ia seperti menambah satu lagi bendera pada peta perjalanan muzik kugiran itu. Saya kini boleh membandingkan penulisan Butterfingers dari lagu Melayu pertamanya sehingga yang terkemudian.

Mewakili diri

LoQue tulis dalam kenyataan akhbar, lirik Hari Raya Di Kuala Lumpur kedengaran canggung. Saya setuju. Tapi kecanggungan itu yang buat saya suka pada album Selamat Tinggal Dunia — album yang dihasilkan selepas Hari Raya Di Kuala Lumpur.

Sebagai pelajar bahasa suatu ketika dahulu, gaya penulisan Butterfingers mencabar untuk dihargai. Tautan dan runtutannya tak jelas; kalau saya beri lirik mereka kepada pensyarah subjek wacana, pasti ia dibuang ke tong sampah.

Tapi saya suka pada keanehan lirik sebegitu. Berusaha mencari tautan pada ayat-ayat yang tidak beruntut secara literal.

Maka, dari segi lirik, saya tiada masalah. Saya lihat lirik Hari Raya Di Kuala Lumpur sebagai kumpulan idea yang terapung dalam minda LoQue ketika berfikir tentang pengalamannya berhari raya di ibu kota.

Lagu itu juga lagu raya kedua tentang pengalaman berhari raya di kota yang saya suka selepas Kota Raya oleh Diandra Arjunaidi bersama Hani & Zue. Saya suka sebab ia tidak klise bercerita tentang kesedihan perantau, mereka meraikan pengalaman berhari raya di kota dengan gembira.

Hari Raya Di Kuala Lumpur juga istimewa kerana ia dihasilkan dengan keinginan untuk mewakili. Maksud saya, LoQue menulis lagu itu untuk mewakili pengalamannya yang sejak kecil berhari raya di Kuala Lumpur.

“Niat saya ketika itu adalah untuk menulis lagu raya yang lain dari lain. Jadi, berdasarkan kisah saya sendiri, lagu ini adalah tentang orang yang tidak beraya di kampung halaman, sebaliknya di kota batu Kuala Lumpur,” kata LoQue.

Sebab itu, antara pengalaman yang cuba dirakamkan dalam lagu tersebut ialah suasana kota yang lengang dan bebas sibuk.

ywAAAAAAQABAAACAUwAOw==

Beza 22 tahun

Dalam kenyataan akhbar, LoQue menganggap perbezaan utama Hari Raya Di Kuala Lumpur versi 2002 dengan 2024 ialah gubahan dan susunan bunyinya.

Saya akui perbezaan dalam dua hal itu jelas. Versi 2002 lebih mentah dan ‘indie’ bunyinya, versi 2024 lebih sofistikated dan ‘penuh’. Saya seronok dengar baris piano dan alat tali yang lebih menyerlah dalam versi 2024 tapi rindu pada strum gitar cerah gaya surf pada versi 2002.

Cuma, untuk saya, perbezaan terbesar antara dua versi itu ialah karakter vokal Emmet.

Emmet pada 2002 sangat bertenaga dan teruja. Pada 2024, dia lebih relaks dan matang. Tiada yang betul dan salah, penilaian pendengar akan tergantung pada selera masing-masing.

Bagi saya, ketika menulis ini, saya suka versi 2002. Tapi saya tak tolak kemungkinan pada masa akan datang, saya lebih suka versi 2024.

Itu hikmah terbitan lagu pelbagai versi seperti ini. Kita berpeluang menilai kepelbagaian gaya untuk satu karya yang sama.

Lebih menarik untuk Hari Raya Di Kuala Lumpur, ia dirakam semula selepas 22 tahun. Pengalaman muzik yang ditimba keempat-empat anggota Butterfingers dapat dilihat dalam lagu itu.

Ini juga, saya fikir, boleh menjadi pengenalan yang baik kepada pendengar baharu Butterfingers, untuk mereka tahu bagaimana gaya pakcik-pakcik yang boleh tarik 8,000 pengunjung untuk konsert mereka ini merakam lagu.

Dengarkan Hari Raya Di Kuala Lumpur di platform strim kegemaran anda dan kalau mahu buat perbandingan dengan versi lama, cuba cari di Youtube.





Source link

Buku Dan Tuhan Akan Tetap Menjaga Kita by Fakhri Fadzli
Shopee.com.my
RM49.00
Buku Dan Tuhan Akan Tetap Menjaga Kita by Fakhri Fadzli
Buku Kerana Takdir Tak Pernah Mungkir by Fedtri Yahya
Shopee.com.my
RM49.00
Buku Kerana Takdir Tak Pernah Mungkir by Fedtri Yahya
Buku Yang Tertulis Pergi Takkan Sesaat Setia : Farah Lee
Shopee.com.my
RM79.00
Buku Yang Tertulis Pergi Takkan Sesaat Setia : Farah Lee
DAN #TUHAN AKAN TETAP MENJAGA KITA – #TentangKITA.
Shopee.com.my
5.0
RM43.90
DAN #TUHAN AKAN TETAP MENJAGA KITA – #TentangKITA.

Leave a Reply