KUALA LUMPUR: Kemaraan pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia untuk mempertahankan gelaran di Terbuka Artik tersekat selepas tewas kepada pemain ranking ke-14 dunia dari Jepun, Koki Watanabe.
Zii Jia yang berada di ranking keempat dunia, tewas 15-21, 21-13, 12-21 dalam aksi suku akhir yang berlangsung selama satu jam dan enam minit di Vantaa, Finland, malam tadi.
Kekalahan itu adalah yang ketiganya di tangan Watanabe dengan sebelum ini tewas di pusingan Terbuka China dan separuh akhir Terbuka Switzerland tahun lalu.
Watanabe selepas ini dijadual bertemu sama ada pemain Taiwan, Chou Tien Chen atau Alex Lanier dari Perancis yang bakal bertemu di saingan suku akhir selepas ini.
Terdahulu, beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke separuh akhir selepas menewaskan lawan masing-masing di suku akhir.
Nur Izzuddin-Sze Fei menewaskan lawan berpengalaman dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 23-21, 19-21, 22-20 dalam tempoh satu jam 13 minit.
Soon Huat-Shevon pula menewaskan gandingan senegara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin dengan keputusan straight set 21-19, 21-15 dalam tempoh 40 minit untuk mengatur pertemuan dengan pilihan kedua dari China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di separuh akhir nanti.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.