KUALA LUMPUR – Kekalahan memalukan dialami perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia apabila ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka China.

Pada perlawanan yang berlangsung di Gimnasium Xincheng, Changzhou sebentar tadi, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terpaksa akur kalah besar 15-21, 2-21 kepada pemain Jepun, Koki Watanabe dalam tempoh 29 minit.

Zii Jia nyata gagal menampilkan prestasi sebenar meskipun sudah berehat panjang selepas tidak menyertai beberapa kejohanan terdahulu, termasuk Terbuka Korea dan Terbuka Hong Kong.

Walaupun bermula baik di set pertama dengan mendahului 9-1, namun Zii Jia gagal mengekalkan rentak konsisten apabila membenarkan  Watanabe kembali mengejar dan menyamakan kedudukan 13-13 sebelum tewas 15-21.

Memasuki set kedua, pemain Jepun itu langsung tidak menoleh ke belakang lagi apabila mengekalkan momentum dan mendahului 11-0 dalam tempoh lapan minit, sekali gus memberi tekanan kepada Zii Jia.

Meskipun cuba untuk mengejar, namun jurang mata terlalu besar buat Zii Jia dan dia terpaksa akur dengan kekalahan 2-21, sekali gus menjadi antara kekalahan terbesar dalam kariernya. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply