Microsoft bakal sokong penstriman perpustakaan permainan Xbox bulan depan. Menurut sumber yang mengetahui rancangan Microsoft, syarikat tersebut sedang bersiap untuk menguji keupayaan menstrim permainan yang anda miliki yang bukan sebahagian daripada perpustakaan Xbox Game Pass yang sedia ada.
Sebahagian daripada projek yang dikenali sebagai Project Lapland, Microsoft sedang mempersiapkan pelayan Xbox Cloud Gaming untuk menyokong penstriman ribuan permainan. Rancangan Microsoft adalah untuk menguji keupayaan penstriman baru ini dengan Xbox Insiders pada bulan November, sebelum ia diperluaskan kepada lebih ramai pengguna Xbox dan lebih banyak permainan.
Perluasan Xbox Cloud Gaming ini seiring dengan rancangan Microsoft untuk membolehkan pembelian permainan dalam aplikasi Xbox di Android di AS. Ini semua berlaku selepas keputusan mahkamah baru-baru ini yang memaksa Google untuk berhenti mewajibkan Google Play Billing bagi aplikasi di Play Store mulai 1 November.
Presiden Xbox, Sarah Bond, mengumumkan bahawa "mulai November, pemain dapat membeli dan memainkan permainan Xbox terus dari aplikasi Xbox di Android." Setelah Microsoft menyelesaikan kerja untuk membolehkan perpustakaan lengkap di Xbox Cloud Gaming, anda boleh membeli permainan Xbox pada Android dan terus menstrimnya ke peranti anda.
Project xCloud sepatutnya dilancarkan dengan penstriman perpustakaan permainan pada tahun 2020. Microsoft kemudiannya mengumumkan ia akan menyokong perpustakaan permainan anda di Xbox Cloud Gaming pada tahun 2022, tetapi ia tidak dilancarkan pada tahun tersebut. Kerja ini memerlukan infrastruktur yang lebih besar untuk ribuan permainan, berbanding hanya ratusan yang ada di Xbox Game Pass. Walaubagaimanapun, ada beberapa penerbit yang mungkin menahan permainan tertentu disebabkan keperluan lesen atau perjanjian.
Microsoft juga sedang bekerja pada kedai Xbox yang berasaskan pelayar untuk mudah alih, yang pada asalnya dirancang untuk dilancarkan pada bulan Julai. Kedai ini akan mula dengan tawaran dan item dalam permainan, tetapi akan berkembang untuk merangkumi permainan daripada pihak pertama. Microsoft memaklumkan pada bulan Ogos bahawa ujian kedai mudah alih berasaskan web telah bermula dan "kerja sedang berjalan dengan baik, dan kami akan berkongsi lebih banyak maklumat di masa hadapan."
Kemaskini, 11 Oktober: Artikel ini dikemaskini untuk menyebut rancangan asal Project xCloud.