PETALING JAYA: Seorang wanita warga emas sesak nafas akibat kebakaran melibatkan lima kediaman di tingkat 17, Flat Sri Sabah, Cheras dekat sini malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.19 malam berkaitan kejadian terbabit.
Seramai 47 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu bersama jentera bantuan antaranya BBP Bandar Tun Razak, BBP Jalan Hang Tuah, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi kejadian.
Turut membantu adalah Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bintang, PBS Desa Petaling dan PBS Gombak.
Menurut Komander Operasi Kanan, Mohd. Hafizan Hassan, setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian mendapati kebakaran melibatkan lima buah rumah di tingkat 17.
Katanya, lima unit rumah musnah terbakar manakala sebuah lagi berjaya diselamatkan.
“Dalam kejadian itu, terdapat seorang mangsa wanita berumur 62 tahun mengalami sesak nafas namun mangsa dalam keadaan stabil.
“Tindakan operasi melalui laluan tangga menggunakan teknik relay pumping. Selain itu, pasukan pemadam manggunakan teknik offensive dan defensive untuk mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, anggota bomba juga melakukan pengosongan bangunan bagi memastikan semua mangsa selamat.
“Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.- UTUSAN