Wanita ditahan salah guna kad debit penjawat awam


PETALING JAYA: Seorang wanita ditahan polis semalam selepas dipercayai menyalahgunakan kad debit milik seorang penjawat awam sehingga kerugian RM4,400.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan kenyataan di laman sosial Facebook yang dikeluarkan oleh lelaki berusia 35 tahun mengenai dakwaan kehilangan kad debit.

Menurutnya, hasil semakan mendapati terdapat dua transaksi pengeluaran dari akaun miliknya pada 24 Disember sehingga 25 Disember lalu tanpa pengetahuannya membabitkan kerugian berjumlah RM4,400.

“Kertas siasatan dibuka oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields mengikut Seksyen 4 (1) Akta Jenayah Komputer 1997.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Daerah Brickfields berjaya mengesan dan menangkap wanita tempatan semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek akan ditahan reman bagi tindakan siasatan selanjutnya.

“Orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini.

“Sebarang maklumat lain berkaitan jenayah atau aktiviti yang mencurigakan boleh menyalurkannya dengan cara menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/0585 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.- UTUSAN





Source link

Leave a Reply