Wajibkan bank bayar peniaga dalam 48 jam


PETALING JAYA: MCA menggesa kerajaan mewajibkan semua bank membuat pembayaran kepada peniaga dalam tempoh 48 jam selepas menerima pembayaran elektronik atau e-payment daripada pelanggan masing-masing. 

Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, langkah itu berupaya meningkatkan aliran tunai untuk peniaga dan ekonomi negara juga mendapat manfaat daripadanya.

Katanya, pihak bank tidak sepatutnya lagi menggunakan alasan cuti umum dan hujung minggu untuk menangguhkan pembayaran kepada para peniaga.

“Lagipun, bank tetap mengenakan faedah ke atas pinjaman walaupun semasa cuti umum dan hujung minggu, jadi mengapa mereka perlu mendapat manfaat daripada apungan percuma apabila menangguhkan pembayaran kepada peniaga?

“Seperti yang kita sedia maklum, terdapat 104 hari Sabtu dan Ahad pada tahun 2024 serta 25 hari cuti umum peringkat persekutuan dan negeri.

“Oleh itu, pihak bank mengaut banyak keuntungan daripada apungan percuma apabila menangguhkan pembayaran kepada peniaga selain fi yang dikenakan ke atas peniaga untuk fasiliti e-payment,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply