Video tular polis trafik tawar bayar saman pada pasangan Britain disiasat


PETALING JAYA: Polis  sedang menjalankan siasatan tentang satu video tular didakwa berkaitan isu pembayaran saman yang dikenakan terhadap seorang pemandu warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azman Sapri berkata, pihaknya mengesan video tular di platform YouTube dan media sosial.

Katanya, video berkenaan berkaitan tindakan anggota trafik menyaman serta menawarkan saman di lokasi kejadian ke atas pasangan warga Britain yang dalam edisi jelajah negara ini.

“JSPT mengambil maklum kejadian berlaku dan sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan tersebut.

“Kita tidak akan bertoleransi dengan mana-mana anggota dan pegawai terlibat dalam salah laku,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, JSPT akan memaklumkan sebarang perkembangan dan tindakan lanjut diambil berhubung perkara ini.

Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 50 saat dimuat naik di laman X @doktorrezz yang memaparkan pasangan pelancong dari United Kingdom disaman oleh anggota polis trafik akibat kesalahan memandu laju.

Pasangan pelancong itu yang menaiki sebuah van telah ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.

Dalam video itu, seorang anggota polis trafik memberitahu pasangan terbabit bahawa van terbabit dipandu 80 kilometer sejam (km/j) berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 km/j.

“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya, jika bayar di balai, RM300. Bayar sekarang, RM100,” kata anggota polis trafik terbabit.

Dalam visual terbabit, pasangan itu bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang kertas berjumlah RM100 kepada polis berkenaan.

Anggota polis terbabit kelihatan mengambil wang berkenaan tanpa memberikan sebarang surat saman. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply