KUALA SELANGOR – Benteng pesisir pantai Sungai Kajang di sini pecah ekoran fenomena air pasang besar di sini, hari ini.

Situasi tersebut juga seterusnya menyebabkan ‘banjir laut’ sehingga limpahannya ke pekan Tanjong Karang.

Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7.15 pagi menyebabkan sebahagian benteng penahan ombak sepanjang 1.5 kilometer tersebut rebak.

Katanya, projek pembinaan ban itu dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor yang bermula Jun lalu membabitkan kos bernilai RM4.9 juta dan dijangka siap pada 2026.

“Keadaan masih terkawal meskipun benteng penahan hakisan rebak akibat fenomena air pasang besar,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi dalam hantarannya videonya di Facebook rasminya mahu tindakan sewajarnya diambil bagi mengelakkan banjir laut berulang lagi susulan telah pecah dua kali sebelum ini.

Beliau turut menunjukkan keadaan jalan raya pekan Tanjong Karang yang ‘ditenggelami’ air

“Pihak JPS telah mengambil tindakan pantas dengan menambak pada benteng pecah tersebut,” katanya.-KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply