CYBERJAYA: Penyedia rangkaian 5G negara, Digital Nasional Berhad (DNB) bersama eMooVit Technology Sdn. Bhd. dan Ericsson dalam perancangan untuk melaksanakan pengujian perkhidmatan bas elektrik tanpa pemandu (autonomi) dengan penumpang yang terhad di Putrajaya, menjelang akhir tahun ini.

Ujian pembuktian konsep (POC) itu antaranya melibatkan penggunaan jaringan 5G seperti sambungan WiFi awam 5G dalam kenderaan, pemantauan kenderaan jarak jauh secara masa nyata dan pengumpulan log perjalanan.

Setakat ini, ujian POC bas tanpa pemandu berkenaan telah dijalankan di beberapa kawasan yang dibenarkan di sekitar Cyberjaya.

Terdahulu, sesi demonstrasi berkenaan turut disertai oleh Menteri Digital, Gobind Singh Deo dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

Menurut Gobind, proses pengujian bas tanpa pemandu dilengkapi teknologi 5G itu telah berlangsung sejak Januari lalu dengan jumlah log perjalanan kini mencapai kira-kira 1,000 jam.

“Ia menggunakan teknologi 5G yang bermaksud bas itu berkeupayaan untuk bergerak dengan sendiri tanpa adanya pemandu, tetapi untuk sesi pengujian kita akan ada `safety driver’ yang duduk di dalam bas tersebut untuk memastikan pergerakan bas itu lancar.

“Dalam masa sama, kita turut kumpulkan data trafik di kawasan ini dan bagaimana bas tersebut (dapat) bertindak balas dengan (pergerakan) trafik dan juga keadaan-keadaan sekeliling semasa ia bergerak,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai sesi demonstrasi pengujian bas tanpa pemandu di sini hari ini.

Pada 3 Mei lalu, media melaporkan DNB dan Ericsson menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan eMooVit Technology Sdn. Bhd., Scania, SKF Malaysia dan Intel Technology untuk memangkinkan pendigitalan perusahaan dengan memanfaatkan rangkaian 5G di Malaysia.

MoU yang dimeterai dengan Teknologi eMooVit itu adalah untuk merintis pengangkutan autonomi, sementara Scania bagi pengurusan kenderaan dan KF Malaysia untuk pembuatan pintar yang akan memperkasakan penciptaan penyelesaian, inovasi dan keupayaan, memanfaatkan ketersambungan 5G.

Dalam pada itu, Gobind dalam ucapannya berkata, pengangkutan awam autonomi sedang diuji dan telah digunakan di banyak bandar di seluruh dunia antaranya Shanghai, China dan Hamburg, Jerman dengan United Kingdom pada Mei lalu memperkenalkan Akta Kenderaan Automatik di mana mereka akan mempunyai kenderaan tanpa pemandu menjelang 2026.

“Saya gembira melihat eMooVit dan pasukan bakat tempatan yang cemerlang menerajui pembangunan kenderaan autonomi di Malaysia. Dan sudah tentu saya berbesar hati melihat DNB dan rakan strategiknya Ericsson, membolehkan eMooVit memanfaatkan teknologi 5G untuk mempercepatkan pembangunan bas autonomi,” ujarnya.

Sementara itu, Anthony Loke memaklumkan, setakat ini, tiada sebarang garis masa ditetapkan untuk meminda apa-apa undang-undang yang berkaitan dengan pengoperasian bas tanpa pemandu.

Katanya, ini kerana bas tanpa pemandu berkenaan masih lagi dalam fasa ujian POC yang telah diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, bergerak ke hadapan, sudah tentu lebih banyak kajian dari segi teknikal dan penilaian yang perlu dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memberikan kelulusan kepada kenderaan autonomi itu untuk beroperasi di atas jalan raya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply