PENYANYI Ernie Zakri terharu dengan kejayaan lagu berjudul Masing Masing kolaborasi bersama komposer terkenal dari Indonesia, Ade Govinda hingga menjadi pilihan ramai.
Ernie atau pemilik nama sebenar Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, tidak menduga lagu berkenaan mampu merangkul trofi di pentas Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-36 selepas dinobatkan Lagu Paling Boom Popular di bawah kategori Ekstra Tonton Paling Popular.
Ernie dedikasi kejayaan menerusi lagu itu kepada mereka yang sentiasa menyokongnya khususnya kelab peminat (Ernienators).
“Syukur dan tentunya saya teruja. Boleh juga katakan lebih kepada terharu kerana kemenangan ini tidak akan terjadi tanpa kelab peminat, Ernienators.
“Alhamdulillah, apa yang mereka usahakan nampaknya berhasil. Saya tidak jangka menang apabila dicalonkan dalam pertandingan membabitkan undian.
“Lebih-lebih lagi melihat peminat artis yang bersaing dalam kategori ini kuat-kuat. Tetapi saya bersyukur apabila lagu ini mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.
Mengenai lagu Masing-Masing, Ernie berkata, liriknya ada kekuatan kerana maksud tersirat dialami pasangan bercinta.
“Sebaik Ade perdengar lagu Masing Masing, karya itu terus menangkap jiwa. Saya katakan pada Ade bahawa lagu ini boleh pergi jauh, cuma saya tidak sangka sejauh ini.
“Lagu ini adalah kisah yang terjadi pada semua orang, bercinta kemudian putus… hubungan toksik. Jadi, mungkin rezeki saya lagu ini dapat tangkap hati pendengar,” tambah penyanyi yang memenangi kategori vokal terbaik pada Anugerah Juara Lagu 35 menerusi lagu Gundah.
Lagu Masing Masing mengatasi saingan sengit Jangan Mati Rasa Itu dendangan Aina Abdul, Waktu (Ziana Zian & Hasif Upin), Damello (Dolla), Sedih Hati (Malique) dan Arah Cinta (Siti Nordiana).
Pada edisi ABPBH ke-35, trofi Lagu Boom Paling Popular menjadi milik Aina menerusi lagu Terus Hidup.