TNB lengkapkan kejuaraan treble, Piala Vivian milik kelab China


KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) akhirnya berjaya melengkapkan kejuaraan treble selepas menjulang Piala TNB 2024 menewaskan Pasukan Hoki Terengganu (THT) 4-2, sebentar tadi.

Lebih manis, kemenangan ini memberikan kejayaan treble pertama TNB selepas mengungguli Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2024.

Pada aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan menerusi Faizal Saari namun TNB bangkit menerusi gol penyamaan dijaringkan Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi pada minit ke-19 permainan.

Suku kedua bertambah hangat apabila THT kembali di depan menerusi jaringan Mohamad Akhmullah Anuar Esook pada minit ke-21 hasil gol padang.

Selang satu minit, pemain import dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun kembali menyamakan kedudukan buat TNB pada minit ke-22 menerusi pukulan sudut penalti sebelum tamat suku kedua.

PENJAGA gol Pasukan Hoki Terengganu (THT), Muhammad Hafizuddin Othman (tengah) menyelamatkan percubaan pukulan pemain Tenaga Nasional Berhad (TNB), Muhammad Danish Aiman Khairul Anuar (dua kiri) pada perlawanan akhir Piala TNB 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini, hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Bermula suku ketiga, tiba giliran TNB mendahului permainan buat pertama kali menerusi jaringan Mughni Mohamad Kamal selepas pukulannya terbias pemain THT, Mohamad Sukri Abdul Mutalib pada minit ke-33 sebelum menerjah gawang.

TNB terus menguasai permainan dan giliran penjaring terbanyak musim ini, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-36.

Bagaimanapun, pada suku keempat TNB dipaksa bertahan selepas THT melakukan serangan bertali arus namun gagal mencari gol sehingga tamat permainan.

Dalam pada itu, bagi Piala Vivian May Soars 2024 pula menyaksikan impian Malaysian University menyapu bersih tiga trofi tidak kesampaian apabila tewas kepada Liaoning Women’s Hockey Team.

Malaysian University terpaksa akur gagal mencapai misi kejuaraan treble selepas tewas 3-0 menerusi penentuan pukulan penalti selepas aksi masa sebenar berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam tempoh 60 minit permainan pada aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.





Source link

Leave a Reply