Najib hadir bagi mengikuti prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama
KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tindakan dan kelakuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pelbagai insiden berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jelas menunjukkan beliau mempunyai kepentingan peribadi dalam dana kekayaan negara itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan membuktikan penglibatan dan kepentingan bekas Perdana Menteri itu dalam 1MDB úntuk memperoleh keuntungan haram, atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa.
Beliau berkata demikian dalam hujahan pada akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan Najib atas tuduhan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
“Satu daripada kejadian utama apabila Najib dilihat melindungi kepentingan peribadinya dalam syarikat ialah penukaran nama daripada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada 1MDB.
“Pegawai khas Najib SP8 (saksi pendakwaan kelapan) Amhari Effendi Nazarudin mengesahkan bahawa tertuduh mahu TIA menjadi kenderaan khas untuk pelaburan strategik di luar negara dengan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low bertindak sebagai pengarah.
“Tidak lama selepas TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan, dengan tertuduh ialah Menteri Kewangan pada masa itu, nama telah ditukar kepada 1MDB pada 25 September 2009.
“Bukti menunjukkan bahawa tertuduh menyebabkan pindaan dibuat terhadap Artikel 117, 68 dan 93 Memorandum & Artikel 1MDB untuk meletakkan dirinya sebagai pengawal muktamad bagi perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat,” katanya.
Ahmad Akram turut berhujah bahawa bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh iaitu SP15 telah memberi keterangan bahawa semasa mesyuarat lembaga pengarah (BOD) pada 26 September 2009, Jho Low yang bukan sebahagian daripada 1MDB, telah menyerahkan telefonnya kepada Mohd Bakke, dengan tertuduh berada dalam talian.
“Tertuduh yang berada dalam talian mengarahkan BOD membuat keputusan untuk memuktamadkan usaha sama dengan Petrosaudi International berjumlah AS$1 bilion walaupun berdepan kegagalan mengumpul dana RM5 bilion daripada IMTN (Bon Nota Jangka Sederhana Islam).
“SP15 turut memberi keterangan bahawa tertuduh meminta beliau melupakan kisah lepas yang merujuk kepada isu IMTN. SP15 memberi keterangan bahawa pada masa perbualan telefon itu, BOD masih membuat pertanyaan berhubung IMTN. SP15 juga berkata keputusan untuk tidak merekodkan perbualan telefon itu dalam minit mesyuarat adalah untuk melindungi tertuduh,” katanya.
AKAN MENYUSUL