Seorang pemimpin PAS menggambarkan bahawa Umno tidak dihormati sekutunya dalam kerajaan perpaduan.

Yang Dipertua PAS Kawasan Subang Roslan Shahir Mohd Shahir turut menyorot hubungan partinya dengan Umno sebelum ini.

“Saya yang di luar PH-BN pun terasa berdesing telinga.

“Bayangkan sesama kawan dalam kerajaan campuran boleh menyerang dan menyinggung sebegitu pedas dan tajam.

“Baru sahaja pasca kemenangan di PRK Mahkota, beberapa pimpinan Umno menjulang pakatan PH-BN, tiba-tiba hari ini ‘penampar Jepun’ dilayangkan,” kata Roslan seperti dilapor Harakah Daily.

Roslan merujuk kenyataan balas Timbalan Ketua Penerangan PKR Razeef Rakimin terhadap cadangan agar Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kepada Umno kerana memburuk-burukkannya selama beberapa dekad.

Razeef berkata demikian selepas Ahli Majlis Tertinggi Umno Nur Jazlan Mohamed membangkitkan isu permohonan maaf itu.

Razeef berkata Umnolah yang seharusnya berterima kasih kepada PH kerana membersihkan parti itu dari keangkuhan dan korup.

Roslan berkata, ketika bekerjasama dengan Umno dalam Muafakat Nasional, PAS sentiasa berhati-hati untuk tidak mengguris perasaan Umno.

“Sejak berkawan dengan PH, satu demi satu kawan menjentik dan meludah Umno. Sebelum ini DAP dalam isu Dr Akmal (Saleh), kemudian Amanah dalam isu kerajaan campuran di Johor, dan kini PKR pula,” tambahnya.

Justeru, Roslan menyeru “rakan-rakan Umno” untuk berhati-hati agar keadaan tidak menjadi lebih parah.

“Sahabat, beringatlah sebelum lebih parah, nampaknya layar telah menimpa tiang.

“Kita bangsa yang punya maruah dan harga diri, berkira-kiralah (fikirkanlah),” katanya

PAS dan Umno bekerjasama dalam Muafakat Nasional selepas BN digulingkan daripada tampuk pemerintahan pada pilihan raya umum 2018.

Namun, kedua-dua parti itu merupakan seteru selama beberapa dekad malah perbezaan politik sehingga memecahbelahkan keluarga.

PAS tidak menolak untuk bekerjasama dengan Umno sekali lagi tetapi presidennya Abdul Hadi Awang menjelaskan ia tidak akan berlaku selagi Ahmad Zahid Hamidi menerajui parti itu.



Source link

Leave a Reply