KUALA LUMPUR : Filem aksi terbitan Astro Shaw dengan kerjasama ZAK Capital dan TGV Pictures, The Experts melakar pencapaian membanggakan apabila terpilih untuk ditayangan di Festival Filem Antarabangsa Shanghai (SIFF) bermula 14 hingga 23 Jun ini.

Diletakkan di bawah segmen ‘The Belt and Road Film Week’, filem itu bakal ditayangkan di beberapa lokasi termasuk di Shanghai, Nanjing, Suzhou, Hangzhou, Ningbo dan Hefei, China.

The Experts menjadi antara filem pilihan untuk segmen tersebut sekali gus menyaksikan ia berada sebaris dengan filem-filem dari luar antaranya Sima’s Unfinished Narration (Iran), Pictures of Ghost (Brazil), Matryoshka (Jerman), Children of the Sea dari (Jepun) dan Nasty dari Itali.

Menurut Penerbit Eksekutif The Experts dan Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya berbesar hati dengan kejayaan tersebut yang menyaksikan filem tempatan berupaya dikenali di negara luar.

“Kami rasa berbesar hati dan teruja untuk mempersembahkan filem The Experts yang mewakili Malaysia di pentas berprestij seperti di SIFF. Pencapaian ini mengukuhkan maklum balas penonton sebelum ini yang merasakan The Experts memiliki kualiti produksi yang tinggi dengan jalan cerita universal.

“Peluang sebegini pastinya menjadi pemangkin buat kami serta pengkarya seni tanah air untuk terus mempersembahkan naskhah-naskhah hebat dari Malaysia kepada penonton di seluruh dunia,”katanya.

Terdahulu penonton tempatan berkongsi respon positif serta memuji kualiti produksi The Experts dan menyamakan dengan filem-filem besar antarabangsa selepas menonton.

Untuk info, SIFF merupakan satu daripada festival filem terbesar dan paling berprestij di Asia Timur.

Mula diperkenalkan pada 1993 dan ia diadakan setiap tahun di Shanghai, SIFF menayangkan pelbagai filem dari seluruh dunia, termasuk filem cereka, dokumentari, dan filem pendek.

Festival ini terkenal dengan beberapa segmen menarik, seperti Anugerah Golden Goblet dan Anugerah Bakat Baru Asia, di mana ia mengiktiraf pencapaian cemerlang sinema global.

Dalam pada itu, filem The Experts membariskan pelakon hebat seperti Datuk Aaron Aziz, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Remy Ishak, Ray Dapdap, Maya Karin dan ramai lagi.

‘The Experts’ mengisahkan sebuah keluarga lima adik beradik yang telah lama meninggalkan kegiatan merompak, kembali berkumpul kerana satu ugutan. Dalam pada itu, mereka masih dibayangi dendam lama daripada tragedi keluarga.





Source link

Leave a Reply