Jenama kenderaan elektrik, Tesla, baru sahaja mengumumkan Cybercab, sebuah robotaxi yang kelihatan lebih praktikal berbanding Cybertruck. Dari luar, ia mungkin tampak biasa, tetapi bahagian dalamnya menggambarkan apa yang diimpikan oleh banyak orang tentang kenderaan yang sepenuhnya autonomus – atau mungkin juga menjadi mimpi ngeri buat sesetengah orang.
Salah satu ciri unik Cybercab adalah ia tidak dilengkapi dengan roda stereng atau pedal. Ini bermakna anda perlu mempercayai sepenuhnya bahawa kenderaan ini mampu membawa anda ke destinasi dengan selamat. Ide ini pernah menjadi perhatian Apple, tetapi mereka menghentikan projek mereka. Menariknya, Cybercab tidak mempunyai port pengecas, kerana ia menggunakan pengecasan induktif tanpa wayar.
Sewaktu pelancaran Cybercab, Elon Musk, pemilik Tesla, ada menyatakan bahawa “kereta autonomus akan menjadi 10 kali lebih selamat.” Bagaimanapun, kata-kata seperti ini perlu diambil dengan sedikit skeptisisme, mengingat bagaimana pemasaran untuk Full Self-Driving telah berubah-ubah dari tahun ke tahun.
Selain itu, Musk turut memberitahu bahawa model Tesla Model 3 dan Y akan menjadi yang pertama mendapat ciri Full Self-Driving tanpa pengawasan, walaupun tiada tarikh tetap diberikan. Mengenai Cybercab, dia menjangkakan pengeluaran akan bermula sebelum tahun 2027.
Satu lagi produk yang diperkenalkan bersebelahan Cybercab adalah Tesla Robovan, yang berfungsi sebagai versi van untuk Cybercab. Namun, Robovan ini lebih menarik kerana ia tiada cermin depan, sebaliknya dilengkapi dengan skrin yang boleh menunjukkan kandungan seperti TV kepada penumpang. Ia juga boleh mengangkut sehingga 20 penumpang dengan empat barisan tempat duduk. Dari segi rupa luar, ia lebih menyerupai kenderaan konsep berbanding kenderaan produksi, dengan bentuk yang agak unik.
Kembali kepada Cybercab, Musk menganggarkan harga jualan akan berada di bawah US$30,000 (~RM129,000) menjelang tarikh pengeluaran 2027. Namun begitu, tiada anggaran untuk Robovan dikongsi pada masa ini.
(Sumber: Tesla / X [1], [2])
Ikuti kami di Instagram, Facebook, Twitter atau Telegram untuk lebih banyak kemas kini dan berita terkini.