JOHOR BAHRU – Seorang peniaga pakaian terpaksa menahan perit apabila wang simpanan RM2,118,000 juta dikebas scammer selepas terjerat dengan pelaburan mata wang asing tidak wujud.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, mangsa merupakan lelaki warga emas berusia 70 tahun mula tertarik dengan iklan pelaburan di aplikasi WhatsApp pada November lalu.
Katanya, mangsa telah menghubungi pihak ‘pengurusan’ kumpulan WhatsApp untuk mendapatkan matlumat lanjut berkaitan pelaburan mata wang asing terbabit.
“Percaya dengan keuntungan lumayan dan segera yang ditawarkan, mangsa tanpa berfikir panjang memindahkan modal pelaburan RM2,118,000 ke beberapa akaun yang diarahkan sindiket antara November hingga awal Disember.
“Mangsa juga diarahkan untuk memuat turun aplikasi dan mendaftarkan akaun ke aplikasi tersebut untuk memantau pelaburannya.
“Mangsa yang teruja selepas mendapati pelaburannya mencatatkan keuntungan RM6,216,000 lalu mahu menjual balik saham namun tidak berjaya dan modal juga tidak dapat dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, susulan menyedari dirinya telah menjadi mangsa penipuan, lelaki terbabit tampil membuat laporan polis pada hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE