KEADAAN padang yang berlecak di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Oktober lalu menyaksikan aksi antara Perak FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) ditunda buat kali kedua musim ini.
Mereka yang sepatutnya bertemu Ogos lalu terpaksa menelan keputusan berkenaan selepas venue perlawanan tidak berada dalam keadaan terbaik dengan pihak pengurusan JDT memohon pertembungan itu dibawa ke tarikh baharu.
Jadi, bagi menjawab persoalan ramai, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Jumaat mengumumkan aksi itu akan diadakan pada 10 November melihat kepada jadual baharu dikeluarkan.
BACA LAGI: [VIDEO] Pernah siku bekas bintang JDT, Selangor cuba ‘hijack’ penyerang idaman Perak
BACA LAGI: Belum puas, JDT sasar 2 import Sepanyol termasuk penyerang DNA Barca
Bagaimanapun, perubahan itu sekali gus menyebabkan gangguan terhadap tarikh aksi pusingan pertama Piala Malaysia yang sepatutnya bermula pada 8 November depan.
Oleh itu, demi membolehkan kesemua aksi berjalan lancar, MFL memilih untuk membawa pertandingan tersebut ke 20 November dengan ia hanya menyebabkan kelewatan terhadap kempen Piala Malaysia.
Penangguhan terbabit hanya menyebabkan kemarahan dalam kalangan penyokong yang beranggapan badan pengelola Liga Super itu sepatutnya lebih teliti dalam membuat sebarang perubahan.
“Kenapa mesti 10 November? Ada penjelasan mengapa tarikh ini yang dipilih kalau sudah tahu Piala Malaysia akan diadakan pada tarikh itu? Bukankah 2 November ada kelapangan atau hari minggu sebelum dan selepas itu? Kenapa tak pilih tarikh perlawanan sebelum 8 November? Itu yang kami mahu tahu,” kata Iqbal Rosali.
Saingan Piala Malaysia musim ini sepatutnya bermula pada 8 November depan.
“Sudah kenapa pula disebabkan satu perlawanan, habis 22 aksi lain pula dirombak, sanggup pula ya? Masih ingat ketika Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih, tak sanggup pula kerana kononnya akan ganggu keseluruhan jadual,” kata Kamarul Al Ariffin.
“Boleh pula dia anjak Piala Malaysia? Daripada adakan format kalah mati, lebih baik gunakan format peringkat kumpulan terlebih dahulu,” kata Sejad Rahmandzukic.
Setakat ini, MFL juga masih belum melakukan undian Piala Malaysia dengan tiga pasukan Liga A1 Semi Pro akan menyertai pertandingan yang akan bermula dengan 16 pasukan bertanding.
Jadi, kemeriahan pasti dapat disaksikan dengan kesemua menyertai akan cuba menghentikan dominasi JDT yang berjaya menjuarainya buat dua edisi berturut-turut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram