KUALA LUMPUR – Pelakon dan penyanyi Noki K-Clique menegaskan enggan lagi melakonkan babak bersentuhan dengan pelakon wanita dalam mana-mana naskhah dibintanginya.

Yakin dengan konsep rezeki, Noki atau nama penuhnya Ahmad Ikhwan Aji, 30, berkata, perkara tersebut dipraktikkannya selepas pulang menunaikan umrah pada Februari lalu.

“Kalau boleh saya cuba elak bawa watak bercinta kerana biasanya karakter sebegitu pasti akan melibatkan adegan bersentuhan selain risaukan keberkatan sumber rezeki itu.

“Kita cari duit dengan berlakon, bila ketepikan soal halal haram sehingga tidak kisah saling bersentuhan, berkatkah rezeki itu?” katanya yang ditemui pada majlis tayangan filem aksi Reeza GTR arahan Ahmad Idham, baru-baru ini.

Tambahnya, dia juga tidak kisah kehilangan tawaran lakonan disebabkan prinsip tersebut.

“Saya tak kisah kalau ada produksi takut untuk tawarkan kerja disebakan syarat-syarat ditetapkan saya lebih yakin rezeki itu dari Allah SWT.

“Alhamdulillah setakat ini rezeki dalam lakonan sentiasa ada, sekarang saya sedang menjalani dua penggambaran serentak iaitu drama untuk Viu Malaysia dan juga filem arahan Syafiq Yusof,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai lakonanya dalam Reeza GTR terbitan Primeworks Studios & Grand Brilliance, Noki berkata, itu adalah naskhah aksi pertamanya.

Ujarnya, dia tidak menjalani sebarang uji bakat sebaliknya watak itu ditawarkan terus oleh Ahmad Idham kepadanya.

“Ini pertama kali saya bawakan watak antagonis, tak susah untuk bawakan watak Andika mungkin kerana sebelum ini saya ada sikap baran. Jadi lebih mudah menghayatinya.

“Namun, apabila usia sudah meningkat dan semakin mendekatkan diri pada Allah, perlahan-lahan saya cuba ubah sikap baran itu,” ujarnya lagi.

Selain Noki, Reeza GTR turut dibintangi Alif Satar, Sophia Albarakbah, Nelissa Nizam dan Datuk Eizlan Yusof. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply