Suruh berhenti berlakon, mahu sara saya dan keluarga ? – Amyza Adnan


TIDAK keterlaluan kalau saya labelkan Amyza Adnan sebagai antara pelakon yang paling kuat bekerja.

Hal itu terbukti menerusi hampir 60 drama, 23 telefilem dan sembilan filem sepanjang 30 tahun pembabitan dalam lakonan.

Kegigihan Amyza adalah demi keluarga. Ditambah dengan kesihatan suaminya, Khairil Idzhar Md. Nazir yang tidak menentu, membuatkan pelakon ini perlu terus gigih mencari pendapatan.

Dalam berdepan cabaran hidup, Amyza mengumpul kekuatan. Baginya, suami dan anak-anak antara yang menguatkan.

“Pengalaman lalu juga, antaranya ketika saya diuji masalah kesihatan, membuat saya kuat dan positif dalam melalui apa juga keadaan.

“Saya tunggak keluarga, ada anak yang perlu disara. Mahu atau tidak, saya perlu terus bekerja.

“Insya-Allah saya kuat. Tak perlu memikirkan saya sakit atau lemah sebab besar tanggungjawab saya untuk keluarga,” katanya.

Bukan mudah buat seorang isteri berhadapan dugaan suami sakit. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa. Kata Amyza, dia perlu bersemangat dan kuat demi suami dan anak-anak.

“Memang perit apabila diuji suami sakit. Tapi saya nikmati sahaja keperitan itu. Cari jalan untuk kuatkan diri.

“Saya tak ada punca pendapatan lain, hanya lakonan menjadi periuk nasi saya dan keluarga.

“Nak berniaga perlukan modal. Saya pula masih ada anak-anak yang perlu ditanggung.

“Jadi kepada yang suruh saya berhenti berlakon, mahukah mereka sara saya dan keluarga?,” ujarnya.

“Saya yakin rezeki berlakon tak putus. Selagi kita bekerja dengan niat yang betul, selagi itu Allah kurniakan rezeki untuk kita, Alhamdulillah,” kongsinya.

TIDAK LUPA PELAKON LAMA

Meskipun diuji cabaran hidup, Amyza tidak putus bercakap mengenai nasib rakan industri, lebih-lebih lagi pelakon veteran yang dianaktirikan.

Pelakon ini tidak menyembunyikan rasa kecewa apabila hak pelakon lama, terutamanya soal bayaran diperkotak katikkan.

“Saya hargai dan kagumi pelakon lama. Sebab itu saya sedih dan kecewa apabila mengetahui ada pelakon veteran yang dibayar rendah.

“Demi mereka saya sanggup bayaran saya dipotong. Asalkan pelakon lama terima bayaran setimpal.

“Dan sebab itu juga saya bersetuju tangga gaji diperkenalkan dalam industri seni. Pelakon lama selayaknya dibayar mengikut pengalaman dan hasil kerja.

“Satu hari nanti saya juga akan berada ditempat mereka. Jadi, saya perlu bercakap tentang hal ini untuk kebaikan bersama,” kongsinya.-UTUSAN





Source link

Leave a Reply