PARIS: Perjalanan pelumba basikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri, yang membuat penampilan sulung di Sukan Olimpik Paris 2024, berakhir di pusingan repechage 1/32 sprints individu di Velodrome Nasional, di sini hari ini.
Pada usia 20 tahun, Nurul Izzah tampak ‘tertekan’ di awal perlumbaan dan hanya mampu menamatkan perlumbaan di tempat kedua di belakang pelumba Kanada, Lauriane Genest, dengan perbezaan masa +0.059 saat (s), memberikan kemenangan kepada Lauriane.
Sementara itu, Riyu Ohta dari Jepun menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan ketinggalan +0.326 saat.
Hanya pemenang setiap pusingan yang layak ke pusingan 1/16 Akhir.
Pada hari Rabu (7 Ogos), Nurul Izzah Izzati juga gagal melayakkan diri ke pusingan suku akhir acara keirin di Sukan Olimpik Paris 2024 setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dalam pusingan repechage.