Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka sekurang-kurangnya 37 kertas siasatan selepas menahan 37 individu termasuk penjawat awam kerana disyaki terbabit kes kartel tuntutan palsu menerusi Op Tunjang.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata pendakwaan terhadap individu berkenaan dijangka pada Nov depan selepas kertas siasatan ke atas mereka disiapkan pada bulan itu.
“Kita membuka kertas siasatan untuk setiap individu yang ditahan dengan setiap daripadanya mempunyai saksi tersendiri serta seorang pegawai penyiasat untuk melengkapkan siasatan,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Majlis Menandatangani Laporan Penambaikan Tatakelola antara SPRM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Menara Perkeso di Kuala Lumpur hari ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata setakat ini tiada tangkapan baharu dibuat namun pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Perkeso untuk mengesan sekiranya terdapat modus operandi atau aktiviti yang sama dengan kartel terbabit.
Azam berkata pihaknya sebelum ini pernah melaksanakan tujuh operasi utama bersama Perkeso di enam negeri dan berjaya mengesan sindiket yang melakukan kesalahan sama.
“Kami mendapati sindiket ini tidak serik melakukan kesalahan dan mungkin juga mengubah modus operandi lain, oleh itu pengesanan kepada aktiviti ini boleh diambil melalui sistem yang dimiliki Perkeso yang boleh ‘trigger’ apabila ada kes diterima pihak mereka,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata jalinan kerjasama dengan SPRM terus diperkukuh susulan penahanan 37 individu yang disyaki terbabit penipuan tuntutan Perkeso.
Penambahbaikan dari sudut prosedur operasi standard (SOP) yang sedia ada dalam agensi terbabit sentiasa dilaksanakan supaya tidak disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata pihaknya tidak akan berkompromi dengan pihak yang menyalah guna dan mengambil peluang terhadap sistem sedia ada untuk membuat tuntutan palsu.
“Kami akan pastikan tuntutan palsu yang dibuat akan melalui proses penyiasatan termasuk membabitkan pihak SPRM yang tidak hanya tertumpu di Pulau Pinang tetapi juga beberapa negeri lain,” katanya.
Mohammed Azman berkata tujuh rombakan dan penambahbaikan dilaksanakan pihaknya sejak 2002 berkaitan pengurusan hilang upaya termasuk fungsi Jemaah Doktor (JD), Jemaah Doktor Rayuan (JDR) dan Jemaah Rayuan Keselamatan Sosial (JRKS).
Sebelum ini, SPRM menahan 37 individu menerusi Op Tunjang terdiri 19 pemohon, sembilan ejen, tiga ‘runner’ serta enam doktor perubatan yang dipercayai terbabit dengan sindiket tuntutan palsu kepada Perkeso.
– Bernama