GUA MUSANG: Pembinaan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Agropolitan, Rantau Manis di sini bernilai RM26.56 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Januari tahun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, projek itu dimulakan pada 27 Julai 2022 sudah mencapai tahap kemajuan sebanyak 40 peratus itu akan memberi manfaat kepada lebih 700 murid-murid di kawasan berkenaan apabila siap nanti.
“Saya sudah meninjau kerja pembinaan SK Taman Agropolitan yang memiliki 18 buah bilik darjah dan lain-lain kemudahan.
“Projek Kementerian Pendidikan (KPM) itu dibangunkan di atas kawasan seluas 7.2 hektar, namun keluasan tapak projek untuk pembinaan sekolah itu hanya 3.9 hektar,” katanya selepas meninjau tapak pembinaan SK Taman Agropolitan, Rantau Manis, di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, pembinaan sekolah baharu itu dapat menjimatkan masa menghantar anak ke sekolah tanpa melalui perjalanan yang jauh.
Katanya, ibu bapa sebelum ini perlu menghantar anak-anak ke dua buah sekolah berhampiran iaitu SK Jeram Tekoh dan SK Renok Baru.
“Projek sekolah itu merupakan komitmen dalam meningkatkan kualiti pendidikan rakyat melalui penyediaan fasiliti pembelajaran yang kondusif dan selesa kepada murid-murid di sekitar Rantau Manis.
“Selain bilik darjah, pembinaan blok tambahan seperti prasekolah, kantin, pentas, tempat letak kereta, laluan sambung berbumbung dan wakaf menunggu bas turut dilaksanakan. Fasiliti sukan iaitu gelanggang bola jaring, bola tampar dan badminton turut dilaksanakan,” ujarnya.
Ahmad berkata, kerajaan berharap pasukan pengurus projek pembinaan dapat mengekalkan momentum persiapan projek itu dengan menepati mutu yang ditetapkan terutamanya daripada aspek kualiti, kos dan masa.-UTUSAN