KUALA LUMPUR: Pasangan ganda lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani hanya satu langkah sahaja dari menjuarai Kejuaraan Asia Badminton (BAC) 2024 di Ningbo, China hari ini.
Pasangan kebangsaan itu berjaya ke final selepas mengalahkan pasangan negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik 21-14 dan 21-18 dalam pertarungan 40 minit, di separuh akhir di Pusat Sukan Olimpik Ningbo Gymnasium.
Ini adalah kemenangan kedua Sze Fei-Nur Izzuddin yang menduduki kedudukan ke-19 di dunia atas pasangan ganda senior yang menduduki tempat kelima di dunia yang juga merupakan ganda lelaki terbaik negara, selepas kemenangan terakhir mereka di German Open 2019.
Menanti mereka di final, adalah pemenang perlawanan separuh akhir lain antara pasangan tuan rumah, Liang Wei Keng-Wang Chang dan duo Taiwan, Lee Jhe Huei-Yang Po Hsuan hari ini.
Kali terakhir Malaysia muncul sebagai juara ganda lelaki BAC adalah dalam edisi 2007 di Johor Bahru melalui Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang mengalahkan rakan sejantina, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-14, 11-21, 21-12.