PETALING JAYA: Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad tetap dengan keputusannya untuk mempertahankan kenyataan beliau terhadap tiga ahli DAP sebelum ini.

Ahli Parlimen Pas itu berkata, kenyataan yang mengatakan ahli veteran DAP itu, Lim Kit Siang merupakan sepupu kepada pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng adalah berdasarkan sumber politik yang diyakini sahih.

Menurut beliau, fakta itu diperoleh daripada bahan kempen Barisan Nasional dalam buku terbitan Jabatan Komunikasi gabungan itu (BNCOMMS).

Katanya, berdasarkan sumber tersebut, ia sekali gus membuktikan Kit Siang dan anaknya Pengerusi DAP,  Lim Guan Eng adalah sepupu kepada bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pula dikatakan sepupu kepada isteri Guan Eng, iaitu Betty Chew.

Beliau berkata demikian berhubung dengan pembelaan yang difailkannya  di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam terhadap saman oleh tiga pemimpin kanan DAP Kit Siang, Guan Eng dan Kok dalam saman berasingan.

Sebelum ini, ketiga-tiga pemimpin kanan DAP itu mendakwa Mastura telah membuat kenyataan yang berunsur fitnah kerana mengaitkan mereka dengan Chin Peng serta Lee Kuan Yew yang tidak ada mengena langsung pada 4 November yang lalu.

Difahamkan, Mastura dikatakan mendakwa pemimpin-pemimpin DAP itu  menyokong, mengamal dan menyebarkan ideologi serta falsafah komunis.

Tiga ahli politik itu menegaskan dakwaan defendan tidak berasas dan palsu, malah mereka menuntut ganti rugi secara am serta injunksi untuk menghalangnya mengulangi dakwaan tersebut.

Sehubungan itu,  Mastura menjelaskan sumber yang didapatinya itu merupakan entiti yang memainkan peranan penting dalam menyampaikan agenda Barisan Nasional (BN) kepada ahlinya dan rakyat.

Justeru, beliau mempercayai maklumat yang diperolehnya daripada buku BN adalah sah dan berani untuk menggunakannya dalam tujuan sebahagian daripada kempen politik ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

“Konteks ucapan bertujuan bagi pengundi dapat  memahami pendirian dan falsafah pembangkang, khasnya Pakatan Harapan (PH) dan BN, di mana DAP menjadi tulang belakang. 

“Ia juga bagi menangkis dakwaan mereka bahawa Pas parti ekstremis yang menunggang agama.” katanya  dalam pembelaan beliau.

Menurut Mastura, saman  yang difailkan tersebut sudah disatukan dan akan didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang. –UTUSAN





Source link

Leave a Reply