KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket dadah menggunakan kondominium mewah dan kenderaan pemilik yang meninggal dunia terbongkar apabila polis menahan tujuh individu bersama pelbagai dadah bernilai RM5 juta dalam beberapa serbuan di ibu negara serta Johor, pada 5 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama, JSJN telah berjaya menangkap dua suspek lelaki tempatan, B1 dan B2 berusia 45 dan 48 tahun (transporter) di tempat letak kereta Eco Sky Residence, di sini.
Pihaknya menjumpai 71.26 kg syabu di dalam dua buah kenderaan iaitu Proton X50 dan Proton Waja yang membawa kepada penahanan suspek B3 berusia 34 tahun bekerja sebagai penghantar dalam serbuan kedua di tempat sama.
“Pemeriksaan ketiga dengan dipandu arah oleh suspek B3 pada pukul 2 petang, pasukan serbuan telah pergi ke tempat letak kereta di Kiara East, di sini, seterusnya memeriksa Toyota Pradon dan menjumpai 40.69 kg syabu dan 19.49 kg ketamin.
“Seterusnya, kita menahan seorang lelaki tempatan (B4), 46, yang merupakan ahli sindiket dan teman wanitanya (B5), 42, yang merupakan warga Thailand bersama heroin (0.138 g), pil erimin 5 (30 biji) dan pil ekstasi (4 biji) di sebuah rumah Kampung Rawang Muar, Johor,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur hari ini.
Tambahnya, ketua sindiket iaitu lelaki warga tempatan berusia 46 tahun (B6) dan teman wanita warga Thailand, 42, ditahan bersama 0.019 kg syabu dan pil erimin 5 (30 biji) di kondominium Mutiara Maharani, Muar, Johor.
Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM4.66 juta terdiri daripada 111.96 kilogram (kg) syabu; ketamin (19.49 kg); pil erimin 5 (60 biji); heroin (0.138 kg) dan pil ekstasi (4 biji) dan dijangka boleh digunakan oleh seramai 670,000 penagih dadah.
Katanya, semua tangkapan direman antara empat hari hingga enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE.