KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil serius pergaduhan antara pemain semasa perlawanan Piala Belia 2024 antara Melaka FA dan Sri Pahang FC di Melaka pada Ahad lalu.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata mereka telah menerima laporan lengkap mengenai insiden di Stadium Hang Tuah dan akan mempertimbangkan bentuk hukuman yang sesuai.

Beliau tidak menolak tindakan tegas terhadap pemain dan kelab yang terlibat untuk mengakhiri keganasan dalam bola sepak.

“Bagi FAM, kami mengambil perkara sedemikian serius. Laporan akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin FAM untuk menentukan hukuman yang akan dikenakan.

“Saya harap tindakan tegas akan diambil, memandangkan insiden sebegini sepatutnya tidak berlaku pada peringkat Piala Belia. Piala Belia sepatutnya menjadi platform untuk menghasilkan pemain yang disiplin dan berbudi pekerti baik,” katanya ketika ditemui di sini.

Pada bulan Mac lalu, FAM mengeluarkan amaran bahawa mereka akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam pergaduhan semasa musim kejuaraan Piala Presiden (Bawah 20) dan Piala Belia (Bawah 18) ini.

Semalam, isu keganasan sekali lagi mencemarkan imej bola sepak tempatan selepas video pergaduhan antara pemain Melaka dan Sri Pahang semasa perlawanan Ahad menjadi viral di media sosial.

Rakaman 44 saat perlawanan tersebut menunjukkan pemain dari kedua-dua pasukan saling tolak menolak sambil pegawai pasukan cuba meredakan keadaan tegang.

Walau bagaimanapun, seorang pemain kelihatan bertindak dengan agresif dengan menendang belakang seorang lawan. – Bernama



Source link

Leave a Reply