Pelakon, Sophia Albarakbah akui selesa digandingkan bersama aktor, Alif Satar dalam filem ‘Reeza GTR’.
Menurut Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman, 31, Alif mempunyai aura yang tersendiri selain merupakan pelakon yang sangat professional sepanjang penggambaran filem berlangsung.
“Alif seorang pelakon yang profesional dan dia sangat positif.
“Semua orang yang berlakon dengannya dapat merasakan auranya yang tersendiri dan dia juga sememangnya sangat berbakat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sophia juga turut menyatakan rasa teruja untuk bekerjasama dengan Alif sekali lagi jika diberi peluang pada masa hadapan.
“Apa yang boleh saya katakan, dia tidak perlu berusaha keras (try hard) untuk menjayakan watak.
“Berlakon dengan Alif sangat menyeronokkan dan saya merasakan dia sangat berbakat.
“Jika diberi peluang untuk berlakon bersama Alif Satar lagi, saya pasti akan menerimanya,” katanya.
Jaga nama baik
Tambah Sophia lagi, sebagai seorang pelakon dia juga cuba untuk menjaga nama baik Alif memandangkan pelakon itu sudah berstatus suami orang.
“Saya rasa, sama ada seseorang itu suami atau tidak, kita perlu menjaga batas kerana dia adalah dari jantina yang berlawanan.
“Selagi kami fokus kepada watak dan menjaga tingkah laku, itu sudah memadai untuk menjayakan watak tersebut,” jelasnya.
Sekadar info, filem Reeza GTR menampilkan barisan pelakon hebat seperti Alif Satar, Sophia Albarakbah, Noki K-Clique, Nelissa Nizam, Mas Anizan, dan ramai lagi.
Filem ini bakal menemui penonton pada 17 Oktober nanti di seluruh Malaysia dan Brunei.