TENOM – Pengadu yang juga saksi kesembilan mengakui telah berkongsi rakaman video panggilan telefon bersama Ebit Lew dengan Akhi Fairuz sebelum laporan polis dibuat di Bukit Aman.

Dalam keterangannya, pengadu berkongsikan rakaman panggilan video tersebut pada 27 Julai 2021 kepada saksi pertama pendakwaan, Akhi Fairuz Al-Jengkawi atau nama sebenarnya, Mohd. Fairuz Abu, 39, kerana dia telah berbual dengannya sebelum ke Bukit Aman pada 7 Ogos 2021.

Katanya, dia berbual dengan Akhi sebelum berita mengenai gangguan seksual membabitkan seorang pendakwah tersebar.

Pengadu memberitahu, dia tidak berniat untuk menjadikan rakaman panggilan video yang diambil pada 10 Julai 2021 itu sebagai bahan bukti.

Rakaman berkenaan diambil semasa telefon bimbitnya jenis Samsung Galaxy A31 dirampas ketika dia membuat laporan polis.

Namun, dia ada kongsikan rakaman video yang berada dalam simpanannya kepada pihak lain semasa diminta untuk mengemukakan bukti.

Menurutnya, dia merakam panggilan video tersebut kerana tergerak hati serta tidak pernah merakam sebarang panggilan sebelum ini, dan itu adalah kali pertama dirinya berbuat demikian.

Malah, pengadu tidak mengaku telah dipujuk untuk menggunakan rakaman video berkenaan sebagai bukti untuk menentang Ebit.

“Gerak hati saya, saya tiada tujuan lain. Saya rasa mahu rakam dan lelaki itu (Ebit) tidak tahu,” katanya semasa menjawab soalan pemeriksaan balas dikemukakan pihak pembelaan.

Pengadu mengaku bahawa dia merakam panggilan video berkenaan secara rahsia tanpa pengetahuan lelaki dalam video berkenaan.

Menerusi keterangannya, pengadu memberitahu mahkamah dia menggunakan dua telefon bimbit, satu telefon untuk merakam dan satu lagi untuk panggilan video.

“Yang saya serah kepada polis telefon Samsung A31 dan untuk rakaman pula, saya guna telefon rumah (Samsung Note 9). Saya rakam dan saya simpan dalam telefon rumah itu dan saya ada hantar ke telefon peribadi saya,” katanya.

Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew,38, berdepan 11 pertuduhan gangguan seksual iaitu membuat hantaran gambar dan perkataan lucah dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita melalui aplikasi WhatsApp yang didakwa berlaku di daerah Tenom antara 29 Mac hingga 18 Jun 2021.

Atas kesalahan itu, Ebit didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya bagi setiap pertuduhan.

Perbicaraan dilakukan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani dan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin, manakala Ebit diwakili peguam Ram, Mohd. Syarulnizam Salleh Keruak, Kamarudin Mohmad Chinki, Timothy Daut dan Prem Elmer Ganasan. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply