PETALING JAYA – “Saya tak perlukan peralatan khas. Saya ‘natural’, penembak semula jadi,” demikian respons atlet Turkiye, Yusuf Dikec.

Yusuf, 51, menarik perhatian pengguna media sosial yang kagum dengan gaya bersahajanya serta tidak memakai peralatan seperti gogal khas dan alat pelindung bunyi pada telinga ketika menyertai acara sukan menembak pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Menerusi perkongsian maklumat daripada pengguna media sosial, difahamkan latar belakang Yusuf bukan calang-calang, bahkan dia dikatakan pernah melanjutkan pengajian di sekolah ketenteraan di Ankara.

Yusuf dilahirkan pada 1973 di Tasoluk dan selepas tamat sekolah rendah di kampungnya, dia bersekolah menengah di Goksun, sebelum mendaftar persekolah di sebuah sekolah tentera (Military School of Gendarmerie) di Ankara pada 1994.

Dia juga pernah menjadi korporal dan ditugaskan di Mardin. Pada 1999, Yusuf masuk semula ke Military School of Gendarmerie sebelum memperoleh pangkat sarjan.

Yusuf kemudian berkhidmat selama setahun di Istanbul dan dia dilantik menyertai kelab sukan Turkish Gendarmerie.

Dia mula terlibat dalam sukan menembak pada 2001 dan sejak itu, Yusuf menyertai pelbagai perlawanan sebagai pasukan kebangsaan. Bahkan, dia mempunyai latar pendidikan dalam bidang sukan dari Gazi University di Ankara.

Terdahulu, Yusuf mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen sama ada dia merupakan penembak upahan di Sukan Olimpik, lapor portal berita News18.

Pada acara tersebut, Yusuf memakai cermin mata biasa dan memakai penyumbat telinga kalis bunyi peluru untuk acara menembak Pistol Udara 10 meter.

Walaupun beraksi sebegitu, dia berjaya memperoleh pingat perak dalam acara berpasukan bersama Sevval Ilayda Tarhan.

Gambar itu telah mendapat tumpuan meluas di media sosial apabila Yusuf dilihat membidik sasarannya dengan sebelah tangannya berada di dalam poketnya. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply