KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau memahami peranan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dalam mempertahankan hak asasi dan keadilan berdasarkan pengalaman peribadinya.

Menurut Perdana Menteri, beliau dan isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail serta ahli keluarganya ke pejabat Suhakam ketika berada dalam kesusahan suatu ketika dahulu.

“Saya hadir hari ini untuk menyatakan penghargaan kepada Suhakam kerana saya, Wan Azizah dan keluarga telah terus ke pejabat Suhakam tatkala saya dalam kesusahan dulu.

“Ini cukup bukti saya faham peranan Suhakam daripada pengalaman peribadi dan saya percaya ribuan yang lain juga merasakan perlu agensi seperti Suhakam kerana peranannya mempertahankan hak asasi dan keadilan bagi semua,” katanya pada Sambutan Jubli Perak Hari Suhakam Ke-25 di KL Sentral, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said; Pengerusi Suhakam, Datuk Seri Mohd. Hishamudin Yunus.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut hadir pada sambutan bertemakan 25 Tahun Memperjuangkan Hak Asasi Manusia dan Keadilan Untuk Semua tersebut.

Dalam pada itu, Anwar berkata, beliau memahami terdapat beberapa masalah yang belum selesai berkaitan hak asasi antaranya soal kematian dalam tahanan polis.

Kata beliau, Ketua Polis Negara namun telah menyatakan terbuka untuk diadakan siasatan dan kajian untuk mengelak perkara itu yang sebahagiannya adalah benar dan sebahagiannya adalah persepsi.

“Tetapi untuk betulkan keadaan dengan kaedah-kaedah yang lebih telus untuk elak salah guna kuasa. Yang menyiasat itu polis, yang jatuhkan hukum hakim, jadi sebelum dijatuh hukum, jangan hukum terlebih dahulu.

“Saya bercakap dari segi pengalaman. Datuk Seri Mohd. Hishamudin antara yang pertahankan saya masa kena belasah dulu. Masa itu belum didakwa pun dah kena belasah sentengah mati.

“Jadi apabila ada orang bicarakan kebimbangan tentang penderaan atau kematian dalam lokap tidak perlu yakinkan saya kerana saya tahu apa kita rasakan dan rasanya seakan tidak berdaya apabila anda dibelasah hampir mati dalam lokap,” katanya.

Sehubungan itu, kata beliau, semua pihak mesti menyokong usaha untuk melindungi suspek atau mereka yang ditahan dalam lokap dan Menteri Dalam Negeri serta Ketua Polis Negara menyokong idea berkenaan.

“Tumpuan kami adalah persepsi. Kita perlu prosedur yang betul dan ada beberapa langkah baharu telah dibuat walau sedikit kontroversi dan agak sukar,” katanya. – KOSMO! ONLINE





Source link

Leave a Reply