Muhammad Sanusi (dua kanan) ketika sidang media di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah pada Khamis.
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengharapkan syarikat yang berminat untuk mengambil alih pasukan bola sepak Kedah Darul Aman (KDA) FC agar benar-benar mempunyai berkemampuan untuk menguruskannya.
Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) itu berkata, walaupun urusan pemilikan kelab itu tidak bersangkutan dengan kerajaan negeri, namun beliau tetap memberi pesanan agar tidak berlaku sebarang penipuan dalam perkara itu.
“Kalau ada kemampuan, silakan. Kita harap dan berdoa dia adalah kemampuan, jangan ‘scam’ lah, belum apa-apa lagi dah buat kenyataan macam-macam dah.
“Macam scammer tak bagus lah. Dia tak ada sangkut paut dengan kita (kerajaan negeri) dia tak berurusan dengan kita dan dia tak perlu kebenaran saya atau Exco Sukan… perlu jumpa pihak peguam KDA,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah pada Khamis.
Muhammad Sanusi
Jelas Muhammad Sanusi, pihak yang berminat untuk mengemudi kelab itu dimaklumkan ada berjumpa dengan Exco Belia dan Sukan Negeri, Muhammad Radhi Mat Din sebelum ini, namun telah dimaklumkan agar berjumpa terus dengan pengurusan KDA.
Sebelum ini, Pemilik KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar mempelawa mana-mana pihak yang berminat memiliki pasukan itu untuk menghantar surat tunjuk minat atau surat tawaran secara rasmi kepada mereka.
Menurutnya, tiada halangan untuk mempertimbangkan mana-mana tawaran yang munasabah serta tulen demi kepentingan dan kelangsungan KDA FC.
Pelawaan itu kemudian disambut Pengerusi Eksekutif Kumpulan DSAT, Datuk Seri Azizul Tandek yang mengutuskan surat rasmi melalui anak syarikatnya, Mahsuri Medical Centre (MMC) pada Ahad lalu mengenai minat mendapatkan pasukan bola sepak tersebut.