Samsung Malaysia telah mengumumkan edisi keenam “Samsung Solve for Tomorrow (SFT) 2024”, sebuah pertandingan bagi belia untuk membangunkan kemahiran penyelesaian masalah serta menangani cabaran komuniti menggunakan Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM). Tema kali ini adalah “Start with Can”, yang menggalakkan peserta untuk mengenal pasti isu-isu tempatan dan mencipta solusi inovatif, bersaing untuk merebut sebahagian daripada RM 80,000 dalam bentuk bekalan teknologi dan bilik darjah.
Dengan kerjasama Universiti Malaya, inisiatif ini bertujuan untuk menanam minat dan kemahiran STEM dari peringkat awal, membekalkan generasi akan datang dengan kebolehan yang diperlukan untuk berjaya dalam tenaga kerja masa depan. Usaha ini selaras dengan visi Malaysia untuk membina kumpulan bakat STEM yang mampan bagi menjadikan negara berteknologi tinggi menjelang 2030.
Penyertaan dibuka untuk semua pelajar sekolah awam, swasta atau antarabangsa yang berumur antara 13 hingga 15 tahun dari sekarang hingga 16 September 2024. Semua peserta yang dipilih mesti mengenal pasti isu-isu tempatan yang mendesak dan mencipta penyelesaian yang melibatkan STEM untuk membawa perubahan positif kepada masyarakat. Penerangan mesti ditulis dengan maksimum 800 perkataan.
Hadiah wang tunai yang ditawarkan untuk setiap pemenang adalah agak lumayan dengan jumlah keseluruhan RM80,000. Pemenang tempat pertama berpeluang untuk memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM28,000 jika mereka menang pertandingan. Manakala pemenang tempat kedua akan menerima RM24,000. Peserta yang menduduki tempat ketiga akan membawa pulang RM19,000. Kemudian, hadiah bagi tempat keempat dan kelima adalah RM6,000 dan RM3,000 masing-masing.
Penyertaan akan dinilai oleh Samsung Malaysia dan Universiti Malaya berdasarkan relevansi isu, kreativiti, kebolehlaksanaan, aplikasi STEM, dan penyampaian. 10 pasukan terbaik akan layak ke pusingan seterusnya untuk memperhalusi dan membentangkan idea mereka.
Penyertaan yang terpilih akan diumumkan di laman web program pada bulan Oktober 2024. Selain itu, Samsung mengesahkan bahawa peserta terpilih akan menerima bimbingan dan nasihat untuk memperhalusi idea mereka dan membangunkan prototaip semasa Bengkel Reka Bentuk untuk Menang.
Untuk maklumat lanjut mengenai Solve For Tomorrow 2024, mereka yang berminat boleh melayari laman rasmi pertandingan ini di laman web Samsung.
(Sumber: Kenyataan akhbar Samsung Malaysia)
Ikuti kami di Instagram, Facebook, Twitter atau Telegram untuk lebih banyak kemas kini dan berita terkini.