KUALA LUMPUR: Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membidas tindakan pimpinan Perikatan Nasional (PN) yang memilih pendekatan untuk ‘riuh’ di luar berbanding berunding mengenai Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan peruntukan pembangkang.
Saifuddin Nasution yang juga Menteri Dalam Negeri yang kesal dengan perkara itu membandingkan perbezaan proses ketika MoU Transformasi dan Kestabilan Politik di bawah pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri pada Sept 2021 hingga mencapai persetujuan antara kerajaan dan pembangkang.
“Pertamanya, pihak kerajaan kemukakan draf. PH bincang dalam Majlis Presiden PH, kemudian PH beri maklum balas. Pihak kerajaan meneliti maklum balas PH dan kami duduk berunding mencapai titik temu. Proses ini ada tertibnya. Perundingan berlangsung beberapa pusingan sehinggalah kedua-dua pihak bersetuju dengan isi MoU.
“Kami memeterai persetujuan itu di dalam satu majlis di Parlimen dihadiri Ismail Sabri dan (Perdana Menteri) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai ketua pembangkang.
“MoU kali ini? Baru terima draf sudah riuh di luar, betullah kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, kalau pilih nak bercakap dengan media tidak perlulah nak berunding!,“ katanya melalui satu hantaran di Facebook hari ini.
Saifuddin Nasution turut berkongsi mengenai proses memuktamadkan MoU Transformasi dan Kestabilan Politik, PH ketika itu diwakili dirinya sendiri, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan Gobind Singh Deo dan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub yang ketika itu Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH).
Kerajaan pula diwakili Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
PN sebelum ini mendakwa draf MoU berkaitan peruntukan pembangkang dibuat oleh satu pihak iaitu kerajaan semata-mata tanpa ada sebarang perbincangan.