Sahabat Senario iringi pengebumian Hamdan di Tambun


IPOH: Jenazah pelakon dan pelawak, Hamdan Ramli, 55, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tambun di sini pada pukul 11.30 malam tadi.

Kira-kira 300 ahli keluarga dan kenalan Allahyarham menghadiri pengkebumiannya termasuk ahli kumpulan Senario, Azlee, Wahid, Ilya, Yasin, Saiful Apek dan Lan Pet Pet.

Artis lain yang dilihat hadir ialah Rahim Sepahtu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada pukul 12.50 tengah hari tadi, di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru dan seterusnya jenazahnya dibawa dan tiba di Masjid Abu Ubaidah, Taman Perpaduan di sini untuk disembahyangkan pada pukul 10.30 malam sebelum dikebumikan.

Terdahulu, pada 31 Disember lalu, Hamdan ditidurkan selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSA akibat komplikasi buah pinggang.

Dia bersama rakan-rakan anggota kumpulan Senario lain berada di Johor untuk menjayakan Program Wonderful Night with Senario Union yang merupakan program berhibur sambil beramal bertujuan mengumpul sumbangan bagi membantu golongan artis veteran tanah air.

Allahyarham Hamdan meninggalkan isteri, Norhamalini Ahmed, 54, serta empat orang anak iaitu Muhamad Zeyreen Misha, 31; Muhamad Nazreen Aiman, 28; Muhamad Syazreen Haqem, 25, dan Nur Natasya Umairah, 21.

Muhamad Zeyreen Misha dan yang lain menjadi antara mereka bersama menguruskan serta mengkebumikan jenazah bapanya yang selesai pada pukul 11.50 malam.

Arwah merupakan anak kelahiran Batu Gajah, Perak muncul dan popular dalam persada seni negara bermula dengan penyertaan beliau dalam program realiti televisyen Sinaran Pasport Kegemilangan bersama Ilya dan Wahid pada tahun 1995.

Mereka kemudiannya membentuk kumpulan Senario bersama beberapa lagi penghibur pelawak.

Dalam pada itu, semua ahli Senario satu persatu mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menguruskan jenazah rakannya itu.

“Arwah seorang yang baik. Kami tidak sangka pada 30 haribulan kami bertemu buat kali yang terakhir. Kami kehilangan seorang sahabat yang baik.

“Dia memang seorang insan yang baik. Dia tidak pernah bermasam muka dengan kami. Terima kasih kepada semua yang menguruskan jenazahnya sehingga ke sini,” katanya. – UTUSAN





Source link

Leave a Reply